Skip to content

Work hard, play hard

Punah harapan mahu ‘diving’ hari ini. Demam, selsema dan sakit kepala. Letih ke sana sini semasa bercuti. Saya mudah jatuh sakit kalau terlalu penat. Itu kelemahan saya.

Kalau bekerja, saya bekerja bersungguh-sungguh. Hingga ada masanya terlupa makan minum. Tersedar belum makan kerana diberi isyarat melalui perut yang sudah terasa sakit.

Bila bercuti, saya bercuti bersungguh-sungguh juga. Pulun habis-habisan. Ikut slogan pengakap, ‘Buat sehabis baik’.

Bercuti memang menyeronokkan. Saya puas hati kerana cuti seminggu ini dapat saya manfaatkan sepenuhnya. Sebagai orang yang bekerja dengan majikan, cuti saya terhad.

Cuti kali ini saya berpeluang:

1. Ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 selama tiga hari berturut-turut. Berjumpa dengan kenalan dan personaliti hebat.

Pergi ke Pesta Buku membuatkan saya bersemangat untuk terus menulis. Seperti ada jurusan hikmat yang membangkitkan aura terpendam dalam diri bagi menjadi penulis super.

Selepas ini tulis, tulis dan tulis. Tulis sehingga mata terpejam.

2. Cuti bersama keluarga di Melaka. Melawat Zoo Melaka dan naik River Cruise Melaka serta membeli-belah di Dataran Pahlawan.

Gembira bersama ibu bapa dan ahli keluarga. Puas dapat menghabiskan masa sepenuhnya dengan Miyul selama beberapa hari. Saya pasti merindui anak saudara kesayangan ini. Entah bila lagi baru saya akan pulang menjenguknya semula.

3. Membaca buku sepuas-puasnya. Saya berjaya menghabiskan 14 buah buku dalam masa cuti seminggu ini. Antaranya Tora Datang Lagi, Menjejak Cinta di Bumi Tuhan, Advantura Pulang ke Malaya, Aku, Dia & Rezeki dan Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan.

Sudah lama saya tidak marathon membaca buku seperti mana cuti kali ini. Riang kerana dapat melakukan apa yang saya sukai. Waktu bercuti saya tidak perlu fikir apa-apa. Sebab itu saya dapat baca banyak buku.

Cuma satu saja yang saya tidak dapat lakukan sangat semasa cuti ini iaitu menulis sebanyak mungkin. Saya hanya dapat menulis sedikit saja kerana masa terisi dengan aktiviti lain. Walaupun sedikit, saya tahu saya menulis setiap hari. Mahu jadi penulis memang kena menulis setiap hari. Tidak ada alasan untuk tidak menulis. Tidak ada jalan pintas untuk menjadi penulis.

Percutian sudah berakhir.

Sudah tiba masanya untuk tukar suis menjadi doktor semula. Bersedia untuk menerima panggilan daripada hospital tanpa mengira waktu. Pukul 10 malam, 2 pagi hatta 4 pagi sekali pun.

Jadi doktor semula.

Kepada mereka yang mula bekerja esok selepas cuti hujung minggu yang panjang, selamat bekerja.

Kerja rajin-rajin. Jadikan kerja kita sebagai ibadah. Bukannya dapat penat-lelah sahaja.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *