Skip to content

Zombi di Pulau Tiga

 

Sabtu 21 November 2015, tercapai impian kami mahu bercuti bersama selepas sekian lama merancang.

Susah benar hendak mencari tarikh di mana setiap orang dapat meluangkan masa. Ada saja berhalangan. Tarikh ini, orang ini boleh tapi orang itu tidak dapat hadir. Tarikh sekian, orang itu pula yang tidak boleh.

Laty dan Rawiyah yang datang bercuti ke sini menyertai kami berlima.

Alhamdulillah dapat juga menjalankan percutian pendek yang diinginkan.

Percutian satu hari di Pulau Tiga atau lebih dikenali dengan nama Survivor Island. Kenapa nama Survivor Island yang dipilih? Cari sendiri jawapannya.

Perjalanan bermula dengan berkumpul di jeti Jesselton pada pukul 7.30 pagi. Daripada situ, kami menaiki bot.

Persinggahan pertama di Pulau Ular. Namanya Pulau Ular tetapi tidak ada seekor ular pun yang kami temui. Tidak mahu berjumpa pun kalau ada.

Apa lagi yang kami lakukan di sana… sudah semestinya aktiviti bergambar. Mengabadikan kenangan di batu-batuan tepi pantai. Saya sempat ambil video air laut menghempas batu-batuan.

2 3

Saya memang bukan jurugambar profesional maka entah apa-apalah video yang saya ambil. Sekadar mahu dengar bunyi ombak laut yang menghempas pantai. Kalau rindu mahu ke pulau, boleh saya tatap video yang ada ini.

Selesai di Pulau Ular, bot bergerak ke Permatang Pasir atau Sand Bar.

1 5

Cantiknya alam ciptaan Tuhan. Sebab itu kita disarankan berjalan-jalan meluaskan pemandangan sekiranya ada kemampuan. Supaya kita dapat melihat keindahan alam ini.

Biru langit, putihnya awan dan pasir serta pantai menjadi ilham untuk saya mencipta sebuah sajak. Saya kongsikan sajak dalam posting seterusnya.

Selepas itu, kami dibawa ke tempat untuk melakukan snorkeling. Puas dapat berendam dalam laut, melihat ikan-ikan dan tumbuhan laut.

Sudah bertahun-tahun dapat lesen untuk Rescue Diver, hari ini saya praktikkan dengan membawa orang yang penat berenang ke bot. Sebenarnya bukan dia penat sangat tapi panik sikit. Dua tiga kali juga saya berhenti untuk curi nafas kerana stamina saya pun tak hebat sangat.

Terima kasih bagi saya peluang praktikkan ilmu yang dah berkarat itu.

Dua tempat snorkeling kami pergi. Destinasi seterusnya adalah Pulau Tiga. Di sini terletak kolam lumpur, Mud Volcano.

9 4

Untuk sampai ke Mud Volcano, perlu berjalan kaki dalam hutan lebih kurang 15 minit. Tempat yang dituju sejauh 1.2 km daripada ‘starting point’. Tidaklah jauh sangat, namun sebab ada naik bukit sedikit terasa macam jauh.

Kami gagahkan diri apabila melihat ada pasangan suami isteri yang sudah bergelar datuk dan nenek melangkah dengan penuh bersemangat. Warga emas ini datang bersama dengan anak-anak dan cucu mereka. Kalau mereka boleh berjalan dalam hutan, takkan kami yang muda tidak mampu pula. Malulah….

Tatkala melalui satu jambatan kecil, kami terpandang lopak berisi lumpur. “Kat sini ke orang mandi lumpur?” Saya ternganga.

“Takkanlah….” Potong Azwa.

Oh, bukan di sini. Jalan ke depan lagi. Hahahaha….

Ingatkan golek-golek badan dalam lopak kecil berisi lumpur. Silap rupanya.

Semakin menghampiri Mud Volcano, kami berpapasan dengan mereka yang sudah pulang dari kolam lumpur. Seluruh badan disaluti lumpur. Bayangkan seperti orang minyak, tetapi mereka ialah orang lumpur.

Hati saya sudah berbelah bagi. Mahu masuk atau tidak?

Kami semua terdiam sejenak sebaik saja sampai di Mud Volcano.

Wow! Memang kolam lumpur semata-mata.

Budak lelaki muda yang menjadi guide kami mengarahkan kami masuk ke kolam.

Tanpa disangka-sangka Kak Kuyah menjadi orang pertama masuk ke dalam kolam. Selamba dia masuk tanpa ragu-ragu.

Saya pula yang terkebil-kebil. Padahal sebelum ini saya yang lantang mengutuk Afid yang tak mahu masuk. Afid kata dia hanya mahu calitkan lumpur di muka dan tangan sahaja. Dia tak mahu mandi lumpur.

“Dah bayar mahal-mahal tak mahu masuk, rugilah!” Bidas saya kepada Afid sebelum kami berjalan dalam hutan.

Nampaknya sekarang saya yang terpaksa menjilat semula kata-kata saya. Saya berat hati untuk bergelumang dengan lumpur.

Seorang demi seorang turun.

“Apa perasaan masuk dalam lumpur Kak Kuyah?” Sibuk saya bertanya kepada Kak Kuyah yang sudah berada dalam lumpur.

“Tak boleh nak cakap, masuk sendiri baru tahu.”

Akhirnya saya masuk juga setelah didesak oleh kawan-kawan.

Wooo… perasaannya memang tak dapat digambarkan. Geli, seperti ada sesuatu di badan. Sudahlah licin mahu berpijak di dasar. Macam terapung pun ya juga kerana lumpur begitu pekat.

Tidak beranilah mahu masukkan kepala sekali dalam lumpur. Hanya berendam setakat paras bahu saja.

Puas bergelak ketawa. “Kenapalah kita buat benda ni?”

“Tu la… dulu kecik-kecik tak nak mandi lumpur, dah besar baru sibuk-sibuk nak mandi lumpur.”

Teringat kenangan semasa zaman kanak-kanak, mencari lokan dalam selut. Tetapi tidak sampai berkubang seperti kerbau.

“Kenapa kita buat benda mengarut macam ni?” Saya toleh pandang keliling. Semua pakat gelak.

Ya, ada masanya kita akan buat perkara yang tak pernah kita fikir kita akan buat.

Tidak lama kami berada dalam kolam lumpur. Bergambar dengan lumpur di badan, tanda kami sudah sampai di Mud Volcano, Pulau Tiga.

Tidak ada kolam air bersih untuk membilas badan di situ. Maka kami harus berjalan pulang keluar dari hutan dengan lumpur yang sudah melekat di badan.

Lumpur yang tertepek di muka seperti ‘mask’ yang digunakan untuk sesi facial. Lumpur di baju dan badan mengeras sewaktu kami berjalan pulang.

Terasa diri seperti zombi apabila berjalan dalam keadaan disaluti lumpur hampir seluruh badan. Tak boleh berjalan laju sangat kerana lumpur di badan.

Zombi kampung pisang… eh silap, zombi Pulau Tiga.

Nampak pantai seolah-olah berjumpa dengan emas. Cepat-cepat merendam diri dalam laut pula. Luruh segala lumpur di baju dan badan.

Puas membersihkan badan dalam laut, kami mandi dan bertukar pakaian dalam bilik air yang disediakan.

Makan tengahari dijamu dengan bbq udang, sosej, ayam, ikan dan sotong. Kenyang.

Pukul 4 petang, tiba masa untuk bertolak balik. Sempat bergambar lagi di Pulau Tiga yang cantik ini.

Perjalanan pulang dengan bot rupanya seperti roller coaster menurut kawan-kawan. Saya memang tidak sedar apa kerana sibuk tidur. Orang lain kata pemandu bot merempit dan bawa bot macam roller coaster.

Selamat sampai di jeti Jeeselton pukul 5.30 petang.

Puas hati dengan trip kali ini. Hanya RM200 seorang memandangkan kami bertujuh. Harga asal pakej RM250 seorang untuk minimum 4 orang.

Selepas ini ke mana destinasi seterusnya kawan-kawan?

87

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *