Skip to content

Zalim dengan diri sendiri

Usah zalim dengan diri sendiri dengan berputus asa.

Berputus asa.

Ketika gagal peperiksaan tahun akhir program sarjana saya sudah mahu berputus asa. Apatah lagi saya sememangnya sudah tawar hati. Serasa telah tertutup peluang untuk berjaya.

Walhal ada peluang untuk mencuba lagi. Ada dua percubaan lagi.

Tetapi Tuhan bagi ketabahan hati untuk saya teruskan perjuangan. Berusaha lagi.

Alhamdulillah, berjaya dengan cubaan kedua. Saya cuma terlewat enam bulan berbanding rakan yang sama satu batch dengan saya.

Berputus asa.

Ketika memikirkan sudah tidak ada peluang untuk melihat buku saya terbit dan dijual kepada khalayak ramai.

Baru ditolak sekali saya sudah mahu mengibar bendera putih. Mahu menyerah. Tidak mahu mengangkat pen dan mencanai idea di atas kertas lagi.

Namun sakit mata melihat tulisan yang memenuhi kotak dropbox dan dalam fail dokumen di PC. Saya olah semula apa yang sedia ada dan kembangkan lagi dengan menambah lebih banyak isi sehingga sesuai menjadi sebuah manuskrip yang mahu diterbitkan.

Seperti kata Ustaz Pahrol, ‘Kita mahu yg cepat tapi Allah tahu masa yg tepat’.

Ya, saya mahu keputusan yang cepat tetapi ternyata Allah lebih tahu masa yang tepat untuk sesuatu itu hadir pada kita.

Ketika saya merasakan saya tidak boleh berjaya lagi sama ada untuk bergelar doktor pakar atau mahu menjadi penulis buku, rupanya ada hikmah yang Tuhan telah tetapkan untuk saya.

Katakan saya lulus pada percubaan pertama, saya akan dihantar ke Tawau. Tetapi saya gagal kali pertama. Kali kedua baru lulus, maka dihantar ke Likas. Di situ rupanya saya lebih tenang untuk menulis.

Buku saya terbit dengan penerbit yang ada nama, kulit buku yang cantik dan layout buku yang menarik.

Pada adik-adik yang sedang belajar, tidak kira di bangku sekolah atau universiti, jangan berputus asa dengan kegagalan yang dialami. Jika kita berputus asa bermakna kita zalim dengan diri sendiri.

Gagal pada hari ini tidak bermakna gagal selama-lamanya.

Kegagalan itu hanya sementara. Kejayaan itu ada. Kalau bukan pada waktu ini tetapi pada masa akan datang.

Pada mereka yang mahu bergelar penulis, jangan berputus asa. Menulis. Menulis dan menulis. Terus menulis hingga kita menutup mata.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *