Skip to content

Untuk seorang yang bernama sahabat

Malam-malam begini datang ilham untuk tulis sajak.

Terimalah sajak spontan malam ini.

Untuk seorang yang bernama sahabat
***************************************

Sahabat
Aku pernah berikrar
tidak mahu menulis mengenaimu lagi
Nampaknya aku kalah dengan janji sendiri

Aku tidak punya ramai sahabat
Kau antara sahabat yang kumiliki
Namun mengapa hati ini kau lukai

Sungguh aku tak mengerti
apa salahku
apa dosa diri ini terhadapmu
hingga tega kau menyisihkan aku daripada hidupmu

Kau buang aku begitu saja
sedang aku tertanya-tanya di mana silapku
kau membisu
buat aku pilu

Aku menangis
air mata bukan di pipi
menitis ke dalam hati

Berbulan lamanya kita terpisah
oleh jarak masa dan keadaan

Satu hari
mesejmu masuk ke telefonku

entah mengapa
tiba-tiba aku rasa marah
selama ini diriku tak pernah kau endah
mengapa baru mahu menjelma

Ternyata aku ego
soalanmu kubalas dengan sindiran
hanya kerana menurut sakit hati yang tersisa
Lantas kau terus tidak berkata apa

Rupanya hidup ini tidak tenang
jika kita terus menyimpan dendam

Bibir boleh berbicara sesedap rasa
namun hati tak mampu menipu

Aku sudah lelah
tidak mahu mengusung benci terhadapmu
hingga akhir hayatku
yang tidak kutahu bila detik itu

Tetapi aku masih tak punya kekuatan
untuk berdepan denganmu

andai ditakdirkan
kita bertemu lagi
dan aku berpaling pergi
bukan kerana aku masih marah padamu
tapi aku tidak tahu
apa yang perlu kukatakan padamu

Maafkan
walau apa yang kulakukan
hingga membuat kau menjauh diri

Tidak pernah berniat
membuat kau terasa mahupun marah
sebagai seorang manusia
tingkah aku tak sempurna
tuturku kadang kala tidak beralas

Seikhlas hati
aku maafkan dirimu juga

Dan aku mahu kau bahagia
walau di mana kau berada

kerana jauh di sudut hati
kau tetap sahabat
yang aku sayangi.

Published inSajakstetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *