Skip to content

Tulis buku seperti mendaki bukit

bukitbukit 2

Pagi-pagi lepas solat Subuh, tidak tidur semula. Hari ini mahu mendaki Bukit Perahu.

Pukul 5.15 pagi, Ng sudah mesej mengatakan sudah sampai di bawah apartment.

Ikutkan hati mahu tarik selimut dan sambung tidur, namun berkobar-kobar hasrat mahu mendaki bukit. Sudah lama tidak bertemu alam.

Dalam kereta, tertidur. Persinggahan mengambil Asrul dan Tini. Di pertengahan jalan, disertai Norli.

Di permulaan pendakian saya mendongak memandang jalan masuk ke hutan. Tidak nampak bagaimanakah jalannya. Mudah atau susah.

Setelah masuk baru tahu. Pacak. Hanya jalan menaik. Tidak ada jalan mendatar.

Ada 15 tiang untuk memberitahu kita sudah sampai ke satu-satu bahagian. Tiang ke-15 tidak bernombor. Sampai di tiang keempat, saya sudah mengah. Sebenarnya daripada tiang kedua lagi sudah terasa sesak nafas dan denyutan jantung semakin laju.

Saya biarkan mereka yang lain jalan dulu. Tidak perlu menunggu saya kerana saya memang lambat kalau mahu naik ke atas. Asrul, Tini, Norli dan Ng sudah jauh ke depan, tidak kelihatan lagi.

Evelyn seperti saya. Naik perlahan-lahan. Apabila saya semakin naik ke atas, dia pun sudah tidak kelihatan.

Sampai di tiang keenam, saya rasa mahu mengalah. Cukuplah. Saya tidak larat. Air yang dibawa saya teguk. Coklat Coki-coki menjadi santapan.

Mahu teruskan atau turun semula ke bawah?

Hati mahu habiskan pendakian. Akal kata, cukuplah kamu sudah penat. Bimbang kalau ada perkara lebih buruk terjadi.

Seorang dua yang tidak saya kenali tersenyum pada saya ketika naik.

Melihat mereka yang naik, saya kembali bersemangat. Kalau mereka boleh naik, aku pun boleh.

Saya kuatkan semangat untuk berjalan semula.

Sampai di tiang ketujuh rasa ingin mengalah semula. Namun saya mendongak ke atas. Eh, tiang kelapan dan kesembilan dekat saja. Saya boleh teruskan ini.

Saya naik lagi. Di tiang kesembilan duduk semula. Penatnya. Kenapa saya buat benda ini. Minda menganalisa. Bukankah lebih elok saya tidur di katil daripada menyeksa badan di pagi hari.

Orang yang tidak dikenali tidak lokek senyuman ketika melintasi saya. Saya dengan muka tidak malu bertanya, “Jauh lagi ke mahu sampai ke atas?”

Seorang perempuan menjawab. “Ini sudah lebih setengah. Tak jauh tu mahu sampai.”

Ada seorang lagi dalam perjalanan turun. Dia disapa perempuan yang menjawab soalan saya. Mereka seperti kenal antara satu sama lain. Katanya mahu naik lagi lepas ini.

Wah, dia yang sedang dalam perjalanan turun sudah pasang niat mahu naik semula. Ini tak boleh jadi. Kalau orang lain boleh turun naik, sekurang-kurangnya saya kena habiskan pendakian.

Semangat saya seperti dicas bateri. Saya mendaki lagi.

Kejap saja semangat saya bertahan. Lagi pun berseorangan. Di tiang ke-12 saya mengah tidak terkata. Inilah bahananya lama tidak bersenam, stamina hilang tidak tahu ke mana.

Kalau mahu berhenti di sini sayang pula. Lagi berapa tiang sahaja. Walaupun saya tidak tahu jauh mana lagi saya perlu berjalan.

Perempuan berbaju oren yang saya temui katanya mahu turun tadi sudah muncul kembali.

What? Cepatnya dia naik balik.

Teruja melihat dia yang sudah naik buat kali kedua, saya pun perlahan-lahan mengikutinya dari belakang. Biar saya pinjam kekuatan semangat dan kegigihan dia mendaki.

Tercungap-cungap. Namun akhirnya berjaya juga saya menjejakkan kaki ke puncak.

bukit 3bukit 4

Alhamdulillah.

Kawan-kawan yang lain bersorak melihat saya berjaya sampai.

Saya tidak menyangka saya boleh sampai.

Mungkin pada orang lain senang, pada saya tidak mudah. Namun tidak mustahil. Perlahan-lahan sampai juga.

Di puncak saya tercari-cari batu berbentuk perahu. Katanya, Bukit Perahu mendapat nama daripada sebuah batu yang terletak di puncak. Batu berbentuk perahu. Tapi tidak saya temui batu yang dikatakan.

bukit 5

Indahnya pemandangan di atas puncak bukit. Awan bergerak. Putih halus. Tampak suci murni.

Tulis buku samalah macam kita hendak mendaki bukit.

1. Di awal perjalanan, kita tak nampak di mana penghujungnya. Kita tidak tahu bagaimana penghujungnya setelah selesai menulis buku.

Kita hanya nampak laluan yang berada di depan. Kita menulis sedikit demi sedikit dan nampak apa yang akan kita lakukan seterusnya, tapi bukan pada akhirnya.

2. Semangat untuk mengalah muncul berkali-kali kerana kita rasa tidak boleh melakukannya. Sudah menulis suku buku atau setengah bahagian buku, rasanya tidak mampu untuk menghabiskannya.

Pelbagai alasan.

Tidak ada idea untuk meneruskan.

Apa yang saya tulis setakat ini tidak menarik. Lebih baik saya berhenti.

3. Kita tidak mampu menghabiskan pendakian. Saya tidak ditakdirkan untuk mendaki bukit ini.

Saya tidak ditakdirkan untuk menjadi penulis. Saya tidak mampu menghabiskan penulisan buku.

Kita tidak tahu apa yang kita mampu buat selagi kita tidak mencuba. Sewaktu kita rasa mahu mengalah, waktu itulah kita harus terus pecut langkah.

4. Mendaki berseorangan membuatkan semangat saya jatuh.

Kita berseorangan dalam menulis buku. Tidak ada rakan penulis yang memberi semangat, bantuan mahu pun ‘shoulder to cry on’. Segala-galanya harus ditanggung sendiri. Memang berat.

Saya semakin bersemangat menulis apabila sahabat baik saya turut menulis buku. Kami sama-sama memberi galakan antara satu sama lain dan berkongsi masalah.

5. Ada masanya, orang tidak dikenali yang baik hati meminjamkan kekuatan kepada kita.

Ketika mendaki, saya terinspirasi dengan orang yang tidak dikenali tetapi begitu baik hati memberi saya kata-kata semangat untuk meneruskan dan menghabiskan pendakian.

“Sikit lagi tu, kamu boleh tu.”

Orang yang tidak dikenali atau bukan sahabat yang rapat dengan kita contohnya kenalan di Facebook memberi komen bahawa mereka suka dengan apa yang kita tulis. Ini boleh memberi semangat kepada kita untuk terus berkongsi penulisan yang baik.

Kenalan Facebook memberi sokongan untuk kita menamatkan penulisan buku. Sedangkan kita tidak yakin dengan diri sendiri untuk melakukannya. Mereka yang tidak dikenali membuatkan kita berkobar-kobar untuk menyiapkan buku.

6. Perjalanan mendaki bukit tidak mudah. Kita rasa penat, rasa macam mahu mati, seperti tidak cukup oksigen pun ada.

Perjalanan menulis buku juga tidak mudah. Pelbagai cabaran akan datang menjengah.

Kita rasa penat menulis. Seperti mahu menangis apabila tidak dapat idea untuk penulisan bab seterusnya. Teringin menghantukkan kepala ke dinding apabila ‘writer’s block’ melanda.

7. Mendaki bukit awal pagi bermakna harus mengorbankan keinginan untuk sambung tidur selepas Subuh.

Menulis dan menyiapkan sebuah buku, kita harus bersedia untuk membuat pengorbanan.

Berkorban masa tidur.

Kuburkan keinginan untuk ‘window shopping’.

Kurangkan menonton wajah kacak hero Arrow, Oliver Queen.

8. Berjaya sampai ke puncak akan membenamkan segala kesukaran yang dihadapi sebelum ini. Manisnya kejayaan sampai ke puncak hanya Tuhan yang tahu. Membuatkan kita ingin mengulangi perjalanan mendaki bukit sekali lagi.

Kejayaan menyiapkan sebuah buku akan mendorong kita untuk menulis buku seterusnya. Kerana perasaan menatap buku yang sudah siap itu tidak dapat diungkapkan. Hanya Tuhan yang mengerti. Walau jerih perjalanan dalam menyiapkan sesebuah buku, kita teruja mengecapi manisnya kejayaan ini berkali-kali lagi.

Jadi ya, tulislah buku sebagaimana kita mendaki bukit.

P.S: Terima kasih teman-teman yang membawa saya untuk aktiviti mendaki bukit hari ini. Kita sudah sampai di puncak!

P.S 2: Selepas ini boleh pergi dengan Fieza Afid dan WaWa Is

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *