Skip to content

Tips menghadapi peperiksaan untuk medical student

Malam ini saya tangguhkan sambungan tips belajar untuk medical student.

Saya terbaca dalam satu status rakan facebook yang terdiri daripada medical student bahawa mereka sedang menghadapi peperiksaan. Dan saya teringat ada yang meminta tips peperiksaan.

Jadi saya ingin menulis sedikit tips menghadapi peperiksaan untuk medical student.

Semoga membantu.

1. Tidur awal
———————-

Tidur awal pada malam sebelum anda menghadapi peperiksaan. Tidur awal memastikan anda mendapat tidur yang cukup.

Supaya segar pada keesokan harinya dan menghadapi peperiksaan dengan bertenaga.

2. Sediakan kelengkapan untuk peperiksaan
——————————————————

Bagi memastikan anda tidak panik dan tidak kelam-kabut apabila bangun pagi, sediakan kelengkapan untuk peperiksaan pada malam sebelumnya.

Kelengkapan di sini bukan saja pen dan pensel tetapi benda-benda lain juga.
– Pen
– Pensel
– Slip peperiksaan
– Kad matrik pelajar
– Kad pengenalan (kalau diperlukan)
– Botol air
– Pakaian yang hendak dipakai : Baju kurung/blouse/seluar/tudung/kemeja/seluar panjang/ tali leher/kasut/stokin
– Lab coat
– Barang-barang lain lagi

3. Pakaian terbaik untuk peperiksaan
————————————————

Seorang rakan menyatakan bahawa dia mengenakan pakaian terbaik yang dimilikinya setiap kali mahu menduduki peperiksaan.

Bila saya tulis pakaian terbaik di sini tidak bermakna pakaian berjenama atau mahal. Tetapi pakaian yang kemas dan elok yang anda ada.

Seterika siap-siap malam sebelumnya.

Menurut rakan saya ini, apabila dia memakai baju terbaik untuk peperiksaan, hal ini meningkatkan keyakinan beliau ketika menjawab soalan dan berhadapan dengan pemeriksa.

Mungkin anda boleh mencuba tips ini.

4. Elakkan perbincangan dengan rakan
—————————————————————–

Elakkan perbincangan (discussion) atau viva dengan rakan-rakan pada malam sebelum peperiksaan.

Mengapa saya masukkan tips ini?

Dikhuatiri jika ada yang rakan anda tahu tetapi anda tidak tahu, anda akan menjadi panik.

Anda mendengar fakta baru daripada rakan anda. Anda panik.

Kata rakan saya, dia sangat panik apabila mendengar fakta baru daripada mulut rakannya.

“Kenapa aku tak tahu? Kenapa aku tak tahu benda tu?” Itu yang bermain dalam fikirannya hingga membuatkan dia berasa cemas.

Ada yang tidak berpuas hati.

“Bagaimana kalau saya mahu juga berbincang dengan kawan-kawan? Kalau duduk seorang diri lagi saya rasa boleh jadi gila?”

Bukannya 100 peratus tidak boleh. Boleh. Tetapi risiko tinggi.

“Ada kebaikannya ke kalau saya berbincang dengan rakan-rakan?”

Kebaikannya jika apa yang anda tidak tahu itu diberitahu oleh kawan anda dan anda boleh menghadamnya dengan pantas. Jika tidak, anda akan lebih panik.

Jadi, terpulang kepada diri apa pilihan yang anda mahu.

Ada orang yang boleh melakukannya, ada yang tidak boleh.

5. Baca nota kecil
———————-

Sekarang minggu peperiksaan. Bukan masanya untuk anda membaca buku teks perubatan yang tebal.

Waktu ini hanya baca nota kecil atau nota ringkas yang anda sediakan sendiri. Nota yang anda tulis dengan ayat sendiri. Bukannya ayat yang disalin daripada buku. Bukannya nota rakan anda. Tetapi nota anda sendiri.

6. Buat soalan tahun-tahun lepas
——————————————

Jika sudah buntu atau rasa tepu kepala, tidak boleh membaca nota lagi, anda boleh cuba menjawab soalan tahun-tahun lepas.

Sebenarnya menjawab contoh soalan tahun-tahun lepas perlu dilakukan awal lagi. Namun seandainya tidak ada apa lagi yang boleh anda lakukan kerana tidak boleh membaca, sekurang-kurangnya anda boleh menjawab soalan.

7. Makan minum cukup
—————————–

Jaga makan minum sewaktu minggu peperiksaan. Anda tidak mahu jatuh sakit pada waktu-waktu genting ini.

Terlalu khusyuk mengulangkaji hingga terlupa menjaga makan minum, memudaratkan kesihatan sendiri.

Kalau anda tidak mengambil berat akan diri sendiri, siapa lagi yang mahu berbuat demikian?

Sayangi diri anda.

8. Telefon ibu bapa, minta doa restu
———————————————

Pada mereka yang masih mempunyai ibu bapa, telefon orang tua anda. Mohon restu mereka.

Minta mereka mendoakan anda.

Ada ibu bapa yang turut mendirikan solat hajat meminta anak mereka diberi kejayaan dalam peperiksaan.

Sejauh mana kita melangkah, restu ibu bapa yang paling utama.

9. Bawa botol air
—————————-

Bawa botol air semasa peperiksaan.

Minum air bagi memastikan anda tidak mengalami dehidrasi. Anda boleh berfikir lebih baik dengan minum air. Seelok-eloknya air kosong.

10. Bawa gula-gula
————————-

Mengerah minda berfikir dan menjawab soalan akan membuatkan anda berasa letih.

Bagi saya dan rakan-rakan, kepala terasa berat. Penat berfikir. Hypoglycemia. Gula-gula membantu meredakan hypoglycemia.

11. Short case dan long case
————————————-

a. The most common diagnosis

Give the most common diagnosis for the case. Sama ada short case atau long case.

Jangan bagi diagnosis yang pelik-pelik atau luar biasa dengan niat untuk membuat pemeriksa kagum dengan anda.

Percayalah, pemeriksa tidak akan ‘impressed’ sebaliknya akan berasa ‘annoyed’ dengan jawapan anda.

Common thing is common.

b. Give differential diagnosis that you know of

Beri differential diagnosis yang anda tahu.

Usah berikan jawapan yang anda sendiri tidak tahu bagaimana mahu menerangkannya.

Jika anda berbuat demikian, ianya seperti menggali kubur sendiri. Anda yang memandu pemeriksa untuk bertanya soalan seterusnya yang anda tidak tahu jawapannya.

c. Anticipate the most common question that examiner might ask

Ketika anda mengendalikan long case, cuba jangkakan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh pemeriksa. Bersedia dengan jawapan untuk soalan-soalan tersebut.

Contoh: thyroid case (thyrotoxicosis)

Differential diagnosis, description of the mass (if there is mass), positive sign, the important negative sign, investigation & expected result and management.
12. Berhadapan dengan pemeriksa
———————————————

a. Bertenang

Jangan panik. Tarik nafas dalam-dalam.

Walau apa pun terjadi, usah menangis. Menangis dalam bilik, selepas peperiksaan.

Jangan menangis di depan pemeriksa. Ada sesetengah pemeriksa tidak suka melihat calon menangis.

Bagaimana mahu menjadi doktor kalau ujian sebegini pun anda tertewas dan menangis.

b. Berdoa dan berselawat

Selawat banyak-banyak dan berdoa semasa anda sedang menunggu giliran untuk long case dan short case.

Ketika itu, hanya Tuhan yang boleh menolong anda. Antara anda dan Tuhan.

Senjata orang mukmin adalah berdoa.

Berdoa agar hati pemeriksa dilembutkan. Agar pemeriksa sejuk hati ketika memandang anda. Supaya pemeriksa bertanya soalan yang anda tahu bagaimana untuk menjawab.

c. Usah bertelagah dengan pemeriksa

Jika pemeriksa bertanya, “Are you sure with your answer?”

Mungkin ada sesuatu yang mahu disampaikan. Mungkin secara tersirat pemeriksa mahu menyatakan jawapan anda salah.

Usah bersikap defensif. Fikir semula akan jawapan anda.

Tetapi mungkin juga pemeriksa mahu melihat sama ada anda yakin dengan jawapan anda.

Walau apa pun jangan bertelagah dengan pemeriksa.

13. Tidak berbincang jawapan
————————————-

Jangan berbincang dengan kawan tentang soalan dan jawapan. Apa yang sudah dijawab tidak boleh diubah.

Bagaimana jika anda tahu jawapan anda tidak sama dengan rakan-rakan, malah jawapan anda salah.

Ini boleh memberi kesan kepada peperiksaan hari seterusnya. Emosi dan semangat anda boleh terjejas.

14. Usah terlalu bersedih
——————————

Jangan terlalu berduka dengan apa yang sudah berlalu.

Contohnya anda berasa sedih kerana gagal melakukan yang terbaik untuk short case.

Anda rasa tak boleh buat. Anda bersedih. Anda rasa anda sudah gagal short case.

Walhal anda tidak tahu sama ada anda lulus atau gagal. Itu adalah perasaan anda semata-mata.

Rupa-rupanya anda lulus. Tetapi kerana gagal mengawal perasaan, anda tidak dapat buat peperiksaan long case pada hari seterusnya.

Hasilnya anda gagal long case pula kerana takut atau sangat sedih.

Tunggu hingga keputusan sebenar diumumkan, baru gembira atau sedih. Sebelum itu, simpan saja perasaan anda.

15. Minta pada-Nya
————————-

Minta pada Allah agar dikurniakan kejayaan.

Walaupun sibuk dengan peperiksaan, luangkan masa baca al-Quran, solat sunat, solat hajat.

Solat lima waktu pada awal waktu.

Bersedekah pada yang memerlukan. Sedekah bukan duit saja, sedekah senyuman, sedekah tenaga, sedekah ilmu, sedekah nasihat dan pelbagai lagi jenis sedekah.

——————————————————————-

Ujian hanya salah satu fasa dalam kehidupan anda.

Besar hati, lapangkan dada.

P.S: Terima kasih kepada Fieza Afid yang berkongsi tips-tips ini.

Published instetoskop & penTips for medical student

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *