Skip to content

Tips belajar untuk medical student

Tempohari ada seorang pelajar perubatan PM saya dan bertanya tips belajar. Saya berjanji dengan beliau untuk menulis status mengenai tips belajar secara ringkas.

1. Belajar secara konsisten
——————————————–

Jangan tunggu hingga musim peperiksaan baru hendak belajar.

Belajar secara konsisten.

Dalam satu minggu, anda berehat satu hari saja daripada belajar, sama ada hari Sabtu atau Ahad. Hari-hari lain anda belajar.

Jangan tunggu air sudah paras hidung baru mahu belajar. Anda akan lemas.

Kalau mahu belajar semuanya bila peperiksaan sudah dekat, menangis anda nanti.

“Adakah belajar secara konsisten bermakna saya kena belajar setiap hari?”

Sebenarnya tidak juga.

Setiap orang tidak sama. Ada juga kawan saya yang tidak belajar setiap hari. Beliau ada rahsia sendiri walaupun tidak belajar setiap hari.

Apakah rahsianya?

Menurut beliau, kena faham apa yang diajar oleh pensyarah sewaktu dalam kelas dan pastikan ada nota yang lengkap.

Bila sudah faham dan ada nota lengkap, mudah untuk mengulangkaji.

Beliau masih belajar secara konsisten walaupun bukan setiap hari.

2. Cari cara belajar yang sesuai
—————————————————-

Setiap orang mempunyai cara belajar yang berlainan.

Ada orang sesuai belajar berkumpulan, ada yang sesuai belajar secara individu.

Kenal pasti stail belajar yang terbaik untuk diri sendiri.

“Bagaimana saya mahu tahu cara belajar yang sesuai dengan diri saya?” Ada yang bertanya.

Anda boleh mencuba kedua-duanya.

Belajar secara individu dan belajar secara berkumpulan.

Lihat yang mana anda suka dan memberi keputusan bagus untuk diri anda.

3. Belajar secara individu
——————————————

Seorang rakan saya mengamalkan cara belajar sendiri kerana belajar berkumpulan menyebabkan beliau mudah hilang fokus.

Dalam satu kumpulan yang terdiri beberapa orang, perkara yang diketahui dan tidak diketahui oleh setiap ahli tidak sama.

Beliau tidak mahu membuang masa menceritakan apa yang diketahui kerana ada banyak benda yang belum diketahui yang perlu dipelajarinya.

Selain itu, beliau takut kalau belajar dalam kumpulan akan menggoyahkan pandangannya terhadap sesuatu perkara.

Bukannya beliau tidak pernah cuba belajar berkumpulan.

Ya, pernah. Beliau pernah cuba belajar dalam kumpulan tetapi tidak bersesuaian dengan jiwa. Hanya sekali beliau mencuba dan kemudian tidak melakukannya lagi.

Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk belajar secara individu.

Cara ini berkesan untuk beliau.

Macam mana mahu tahu cara ini berkesan untuk diri sendiri?

Kalau anda lulus dalam peperiksaan dan tidak menghadapi masalah untuk memahami dan mengingati apa yang dipelajari, maksudnya anda boleh melakukannya.

Sepertimana rakan saya ini lulus dalam setiap ujian dan peperiksaan semasa berada di Fakulti Perubatan dengan mengamalkan gaya belajar ini.

Jangan rasa bersalah kalau belajar berseorangan.

Tetapi maksudnya bukan anda bersikap sombong atau angkuh. Mungkin ini cara yang sesuai untuk anda.

Jika ada rakan-rakan yang memerlukan pertolongan dan bertanyakan soalan, anda boleh menjawab dan berkongsi ilmu.

Rakan saya tidak lokek menjawab apabila ada kemusykilan yang diajukan kepadanya.

4. Belajar berkumpulan
————————————–

Sesuai untuk mereka yang sukakan dengan cara ini.

Kalau anda tak tahu sama ada anda sesuai atau tidak dengan belajar berkumpulan, cuba dahulu.

Syaratnya kena cari kawan-kawan yang sama fikrah. Kawan-kawan yang anda selesa untuk belajar bersama dan mempunyai tujuan yang sama.

Belajar berkumpulan menggalakkan perbincangan sesama sendiri. Ianya sangat berkesan kalau diamalkan dengan betul.

Terangkan pada kawan apa yang telah anda pelajari dan lihat sama ada mereka boleh faham penerangan anda itu. Apabila anda faham sesuatu perkara dengan baik, anda boleh menerangkan kepada orang lain dan mereka boleh faham.

Mengajar dan berkongsi dengan orang lain apa yang anda tahu akan membuatkan anda lebih mengingati satu-satu ilmu.

Tetapkan jadual yang dipersetujui oleh semua ahli kumpulan.

Tidak terlalu ramai ahli dalam satu-satu kumpulan.

Sesi belajar betul-betul diisi dengan perbincangan ilmu bukannya gosip atau borak kosong. Jika ada yang nampak sudah tersasar dan berbincang hal bukan akademik, lekas-lekas ingatkan tujuan sebenar anda berkumpul.

——————————————————————–

Cukup 4 dulu untuk hari ini. Nanti saya sambung lagi.

Ada 20 lebih tips lagi mahu dikongsi.

Anda mahu saya teruskan perkongsian atau cukup 4 ini saja?

Mungkin tips ini tidak sesuai untuk semua orang atau anda rasa biasa-biasa saja.

Anggaplah ianya sebagai bahan bacaan masa lapang kalau tidak membantu anda.

Jika ada tips yang dikongsi memberi manfaat kepada anda, Alhamdulillah.

Sila kongsi jika anda rasa ianya berguna.

P.S: Terima kasih kepada rakan yang berkongsi ilmu ini, Aida, Fieza Afid dan Hazfadzila Mohd Unit. Saya hanya menuliskan apa yang kalian semua berikan.

Published instetoskop & penTips for medical student

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *