Skip to content

Tertekan naik motor di Da Nang

 

Hari ini kami sewa motor untuk ke Marble Mountains yang merupakan himpunan lima bukit marmar dan batu kapur.

Perjalanan ke sana mengambil 30 minit kerana motor dipandu dengan kelajuan siput. Dapat motor yang tidak biasa digunakan menyebabkan pemanduan tidak lancar.

Menaiki motor adalah perkara yang saya suka kerana terasa bebas bila angin menyapa wajah. Tetapi di sini, saya tertekan kerana motor yang tidak biasa untuk saya gunakan. Tidak ada N, 1 dan 2. Hanya pulas handle.

Tetapi saya menghadapi masalah untuk membuatkan motor mula bergerak. Pulas sedikit motor tidak bergerak. Pulas banyak, takut saya yang tercampak ke depan. Serba-salah dibuatnya. Setiap kali motor berhenti kerana lampu isyarat merah atau mengelakkan motor dan kereta lain, saya bermasalah untuk bergerak semula.

Sudah enam tahun rasanya tidak bawa motor. Tiba-tiba bawa motor di Da Nang pula.

Ditambah cara pemanduan orang di sini yang asal boleh. Lampu hijau, yang jalan terus bergerak, yang belok pun bergerak. Jadi seperti mahu berlanggar kerana bertembung. Namun sebenarnya mereka mencelah-celah antara satu sama lain.

Ketika memulangkan motor, baru saya perasan ada Honda Wave. Kenapalah saya tak perasan tadi sewaktu awal meminjam. Haish…. kalau tahu, tidaklah saya stress bawa motor tadi.

Di Marble Mountain ada dua pilihan. Mahu naik dengan lif atau mendaki anak tangga.

Bayaran masuk : 15,000 dong.
Bayaran menggunakan lif : 15,000 dong (perjalanan sehala)

Kami naik ke atas menggunakan lif manakala turun ke bawah dengan tangga.

1

Terdapat tempat sembahyang untuk penganut agama Buddha di sini. Ada gua yang boleh diteroka, tempat tinggi untuk meninjau kawasan sekitar.

2

Kedai-kedai di sekitar Marble Mountains menjual cenderamata yang diperbuat daripada marmar contohnya patung.

4

Semasa berjalan ke motor, kami disapa oleh seorang lelaki yang memberi salam. Rupanya dia seorang muslim. Namanya Abdullah. Dia tampak gembira dapat berjumpa dengan saudara seagama. Tidak lama kemudian, adiknya Dhavi pula muncul.

Selepas pulangkan motor, kami singgah di Han Market untuk mengambil blazer yang ditempah. Malangnya harus dibetulkan semula kerana tidak selesa di bahagian lengan. Tukang jahit kata OK, saya yang pakai rasa tidak OK. Saya minta dia betulkan semula. Esok baru boleh ambil. Hmmm….

‘Check out’ dari Tho Du Hotel dan ‘check in’ ke Novotel pula.

Tampak mewah ruangan di lobi Novotel. Biliknya memang cantik. Katil kelihatan empuk.

Pendaftaran kursus bermula pukul 3 petang. Saya peserta pertama dari Malaysia yang mendaftar menurut urusetia.

Pukul 5 petang kursus bermula. Di sebelah saya, Puan Nguyen Thi Kim Khanh, seorang pemilik agensi pelancongan dan editor majalah bisnes & wanita. Di sebelahnya, seorang lelaki Vietnam yang juga merupakan kawannya.

Puan Khanh bercakap, saya masih boleh faham. Tetapi rakannya buat saya terdiam. Lima minit pertama ketika lelaki ini bercakap, saya langsung tak dapat tangkap apa yang cuba dikatakannya. Apabila dia tidak dapat perkataan Inggeris yang sesuai, dia akan bertanya kepada Puan Khanh yang akan memberitahunya kepada saya.

Selepas itu, baru saya dapat tahu rupanya lelaki ini bekerja di jabatan IT. Huhuhuhu….

Pukul 6.30 hingga 7.30 petang, ada slot istimewa iaitu slot senaman. Lain daripada lain. Pergi kursus internet, dapat belajar cara senaman sekali.

Published inkursusstetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *