Skip to content

Tahniah kawan-kawan jururawat

Semasa zaman doktor pelatih, ada rakan memberi pesanan keramat setiap kali masuk posting baru.

“Kalau kau nak hidup senang kat hospital, buat baik dengan jururawat.”

Mulanya saya tak faham dengan pesanan itu.

Buat baik? Maksudnya apa? Bodek? Kipas? Belanja makan?

Sewaktu awal bergelar doktor, tidak tahu apa-apa, masih terpinga-pinga baru habis universiti. Memang ada menjalani praktikal sewaktu zaman belajar tetapi apabila bekerja semuanya nampak berbeza.

Menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, sudah ada tanggungjawab besar yang terpikul di bahu. Tak boleh main-main kerana doktor berdepan dengan pesakit. Bukannya mesin. Tidak boleh baiki semula sekiranya ada kerosakan.

Selepas menjadi houseman, barulah saya faham apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘buat baik’ itu.

Awal-awal bekerja, terasa hati juga bila dimarahi oleh jururawat senior. Ada sedikit ego yang terselit di situ.

Kenapa marah-marah aku? Aku doktor. Kau jururawat.

Kemudian muhasabah diri. Baru sedar diri. Semua orang penting di hospital. Tidak bermakna kau doktor, kau seorang saja yang penting. Jururawat, penolong pegawai perubatan, PPK, ahli farmasi, radiographer malah makcik cleaner pun penting. Semua orang penting. Semua orang ada peranan masing-masing dalam menjaga pesakit.

Sebenarnya bukan dengan jururawat saja kita kena buat baik. Dengan semua orang di dunia ini. Barulah kehidupan akan aman damai.

Buat baik dengan jururawat.

Layan mereka sebagaimana kita mahu orang melayan kita.

Mereka pun penat menjaga pesakit seperti doktor yang pening kepala mahu memikirkan rawatan terbaik untuk pesakit.

Doktor mungkin terpaksa menjaga beberapa wad dalam satu masa apabila oncall. Maka kepada jururawat disandarkan harapan untuk menjaga setiap pesakit yang ada di setiap wad.

Kalau jururawat mogok, boleh tutup hospital dibuatnya kerana siapa yang mahu memberi ubat kepada pesakit, mengambil tanda vital, menukarkan pakaian pesakit dan membersihkan pesakit.

Saya perasan ada masanya pesakit memberi layanan ‘double standard’. Dengan doktor, bukan main lembut gigi dari lidah. Tapi dengan jururawat bercakap dengan kasar. Namun jururawat tetap bersabar kerana kebajikan pesakit yang lebih utama.

Jururawat juga menjadi mangsa kecaman masyarakat. Ada saja perkara buruk yang diviralkan tentang jururawat sedangkan kisah di sebaliknya tiada siapa yang ambil tahu. Menilai dan menghukum jururawat hanya dengan memandang luaran.

Namun jururawat tetap teruskan kerja walau hati terusik, walau jiwa tersayat luka kerana pesakit itu adalah tanggungjawab.

Kata seorang rakan jururawat, “Biarlah apa orang nak cakap. Yang penting kita buat kerja kita. Tuhan tahu apa yang kita buat. Biar mereka yang mengata kami menjawab di akhirat.”

Ya, tetap sabar bertugas.

Tahun demi tahun bekerja, saya makin faham istilah ‘buat baik’ itu.

Treat them as your colleague. Treat them as your friend. Because they are really doctor’s friend in the hospital and outside the hospital.

Saya teringat pernah bertekak dengan jururawat di P2 di HKL kerana dia mengejutkan saya pukul 3 pagi untuk pasang branula. Selepas hubungan kami baik, dia antara jururawat yang rapat dengan saya ketika saya bekerja di sana. Semua branula dicubanya pasang sendiri oleh dia dan kawan-kawan. Kalau tak dapat, baru minta tolong saya. Hehehehehe….

Di HSA pula, saya terkenal dengan pisang goreng dan buah-buahan tempatan. Emak suka bekalkan saya dengan pisang goreng, rambutan, durian, duku, langsat, apa sajalah yang ada di rumah. Dan saya suka bagi kawan-kawan doktor dan jururawat makan. Jururawat HSA, rakan berkongsi cerita, menenangkan saya bila saya nak meletup dengan pesakit dan tolong saya bila saya sendiri jatuh sakit.

Jururawat di PPUM, antara rakan-rakan sekerja yang best, satu kepala. Bergossip, tempat mengadu bila kena marah dengan specialist, berpeluh sama-sama bila yellow zone macam tongkang pecah atau resus zone terlebih muatan. Berbuka puasa dengan CPR dan resus pesakit.

Jururawat di Likas, ada Sabahan dan ada orang Semenanjung namun kami menjaga pesakit yang sama. Menyambut kehadiran saya di bumi Sabah ini dengan baik. Sumber informasi kalau ada masalah di jabatan yang tak saya ketahui. Rajin mengajak saya untuk aktiviti outdoor cuma saya yang kerap berhalangan. Jangan serik ajak lagi ya.

Tahniah untuk rakan-rakan di PPUM sempena hari konvo.

Proud of you guys. I know the journey is not easy.

Perjalanan kalian tidak berakhir di sini. Sebaliknya terus berkhidmat dengan masyarakat walau beribu rintangan pada masa akan datang. Kerana keikhlasan kerja yang dinilai Tuhan dan menjadi bekalan untuk di alam sana.

Kepada adik-adik yang bakal jadi houseman, saya pula turunkan pesanan keramat ini:

“Kalau mahu hidup senang di hospital, buat baik dengan jururawat.”

P.S: Gambar diambil daripada fb Aida Nur Sharini. Maaf tak tahu siapa tukang ambil gambar. Halalkan saya letak di sini. ?

P.S 2: Tahniah sekali lagi kawan-kawan PPUM.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *