“Aku sibuklah. Sorry, tak dapat keluar makan dengan kau.”
“Penatlah, hari ni agak sibuk.”
“Kau ni sibuk 24 jam je. Susah betul nak jumpa.”
Pernahkah kita mengungkapkan ayat-ayat di atas?
Pernahkah rakan atau ahli keluarga melontarkan ayat sedemikian kepada kita?
Situasi biasa zaman sekarang. Masing-masing dihambat kesibukan.
Sibuk dengan urusan keluarga. Sibuk dengan urusan kerja. SIbuk dengan urusan persekolahan. Sibuk dengan kursus. SIbuk dengan mesyuarat. Sibuk membeli-belah.
Semuanya sibuk.
Persoalannya, adakah kita benar-benar sibuk seperti yang dikatakan?
Adakah sibuk kita itu memberi manfaat atau sibuk yang tidak memberi hasil?
Betulkah kita sibuk atau buat-buat sibuk?
“Kau sibuk ke?”
“Eh, tak la. Aku buat-buat sibuk je.”
Macam mana yang dikatakan buat-buat sibuk itu pula?
Sebenarnya tak sibuk, tapi kita pura-pura sibuk untuk membuatkan orang melihat kita sebagai seseorang yang sentiasa sibuk.
Tanda hati kita sangat terikat dengan dunia, celik saja mata, hidup kita dipenuhi dengan kesibukan yang tak berpenghujung. Kita seperti tak boleh bernafas kerana rasa diri terlalu sibuk. Kita impikan untuk hidup yang lapang. Hidup yang tenang. Hidup tak dibelenggu kesibukan.
Kita mahu sibuk yang bermanfaat. Kita disibukkan dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti urusan kerja yang penting, Sibuk membaca dan memahami al-Quran untuk panduan hidup. Sibuk membuat kebajikan menolong mereka yang memerlukan. Sibuk menulis perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada pembaca. Sibuk dalam urusan kebaikan. Sibuk dalam perkara yang menguntungkan kita untuk saham akhirat.
Itu kesibukan yang kita mahu. Bukannya kesibukan yang sia-sia.
Mulai hari ini, setiap apa yang kita sibuk lakukan, mari kita lihat adakah kesibukan kita itu bermanfaat atau hanya sia-sia dan mendatangkan penat.
Be First to Comment