Skip to content

Shopping online

Masuk hari ketiga bercuti.

Saya belum keluar ke mana-mana hari ini. Hanya sekali keluar pada hari khamis untuk membeli KFC. Tiba-tiba teringin Snack Plate waktu itu. Maka saya gigihkan diri keluar semata-mata melunaskan keinginan makan KFC.

Duduk di rumah pun bukannya selamat duit saya.

Orang kata saya ini bukannya individu yang suka shooping. Memang betul saya tak shopping barang-barang seperti yang orang lain beli. Saya tak shopping tudung, baju, barang-barang dapur atau barang-barang rumah, botol susu anak.

Tapi saya membeli barang lain. Saya beli buku, majalah dan program online. Pantang ada buku atau ebook yang menarik saya beli melalui online.

Sekarang mudah berbelanja. Hanya perlu bayar melalui perbankan online atau pay pal. Betul, semuanya di hujung jari saja.

Daripada satu segi sangat memudahkan kerana kita tak perlu keluar ke kedai untuk membeli buku yang diinginkan. Tidak perlu keluar duit minyak, duit parking dan tidak perlu tergoda dengan barang lain yang tidak perlu semasa mahu ke kedai buku.

Namun perlu ada batasannya. Tidak boleh terlalu boros hingga terlebih berbelanja. Sedar-sedar sudah beratus-ratus duit yang dibelanjakan untuk membeli ebook atau program di internet. Biasanya program berkaitan penulisan yang saya beli.

Buku pula, pantang kalau saya membaca contoh atau sample yang diberikan. Apabila tertarik, saya terus beli.

Khamis lepas, saya baca contoh contoh novel yang diberikan melalui app Bacha Booku. Habis membaca 46 muka surat contoh yang diberikan, hati saya meronta-ronta ingin tahu kesudahan cerita.

Akhirnya apa yang terjadi?

Pukul 3 pagi saya membeli novel tersebut. Hmmm…. pukul 6 pagi sudah habis baca novel tersebut. Kalau Tintinali, empat tahun pun tak pernah khatam, tapi kalau baca novel beberapa jam sudah selesai.

Sebelum itu saya sudah membeli satu ebook yang ditulis oleh penulis luar negara.

Semalam pun saya sudah tergoda untuk membeli sebuah novel lagi melalui online dan boleh dibaca terus melalui ipad atau handphone.

Bahayanya membeli online dan membayar melalui paypal, harga yang dikenakan dalam USD. Maka nampak sedikit bayaran kerana saya terbayang seperti Ringgit Malaysia. Tetapi sebenarnya saya membayar dalam USD.

Nampaknya saya perlu mengawal diri.

Untuk sedapkan hati, saya bagi alasan sebagai pelaburan untuk karier penulisan saya. Tetapi jauh di sudut hati saya sedar, sebenarnya ketagih untuk shopping ini sama sahaja. Cuma bahan atau produk yang dibeli yang berbeza.

Teringat nilai empat angka yang saya laburkan untuk membeli program penulisan penulis terkemuka luar negara. Memang banyak jumlah yang dilaburkan tetapi saya tidak menyesal melaburkan duit untuk produk itu kerana ianya telah memacu saya untuk menghasilkan buku pertama saya, Mudahnya Menulis Buku.

Pokok pangkalnya diri sendiri. Apakah produk yang kita beli itu satu pembaziran atau bermanfaat untuk kegunaan kita?

Apakah pulangan satu-satu produk yang dibeli?

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *