Skip to content

Sesuatu yang baik menanti di sana

Sebelum menghadapi peperiksaan akhir untuk program sarjana perubatan kecemasan, ketua perkhidmatan kecemasan Malaysia berjumpa dengan semua calon peperiksaan. Tujuannya untuk mengetahui ke mana kami mahu pergi apabila sudah bergelar pakar dan dia mahu membuat perancangan di mana kami perlu diletakkan.

Tidak semestinya apa yang kita mahu, kita akan dapat. Itu juga yang terjadi pada saya.

Sesiapa yang tidak pernah bertugas di Sabah atau Sarawak, disyaratkan untuk berkhidmat di sana sebagai pakar, sekurang-kurangnya selama dua tahun. Kalau mahu lebih lama dari waktu itu, terpulang kepada individu.

Kawan-kawan yang pernah bekerja di Sabah atau Sarawak tidak perlu ke sana lagi.

Bukannya mudah untuk meninggalkan Semenanjung dan bekerja di sana, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah berkeluarga.

Tidak boleh mengelak. Saya tahu saya akan dihantar ke sana. Namun saya tetap mencuba nasib. Saya minta untuk bertugas di Terengganu. Tidak dibenarkan. Pilihan untuk saya hanyalah Sabah atau Sarawak.

Akhirnya saya redha. Hantar sajalah saya ke sana.

Selepas peperiksaan tamat dan disahkan sudah lulus, pengumuman dibuat. Seperti yang dijangka nama saya memang untuk bertugas di Sabah.

Bila hampir tiba masa tersebut, baru saya tersedar. Saya akan ke sana! Bukan untuk trip menyelam atau trip melancong tetapi untuk bekerja di negeri di bawah bayu.

Sedih juga sebenarnya. Ketika itu buku pertama saya baru dikeluarkan. Macam-macam perancangan yang tergambar di kepala untuk meluaskan karier penulisan saya. Namun semuanya punah dengan pengumuman bahawa saya akan ditempatkan di Sabah.

Saya akan memulakan hidup baru di sana.

Lebih sakit hati bila ada kawan yang berkata, orang bujang macam saya memang sepatutnya dihantar ke sana. Bukannya orang berkeluarga seperti mereka. Memang panas mendengarnya. Dia tidak tahu apa yang saya fikir dan apa yang telah saya rancang. Orang bujang macam saya tidak ada keluarga ke? Apakah dia fikir hanya pasangan dan anak-anak merupakan keluarga. Ibu bapa dan adik-beradik bukan ahli keluarga ke?

Ayat seorang sahabat menyejukkan hati saya.

Kata F: Allah Maha Adil. Ada sesuatu yang baik menanti kita di sana.

Sahabat yang baik, sahabat yang boleh mendamaikan hati sahabatnya.

Ayat itu saya pegang sampai sekarang. Ada sesuatu yang baik menanti saya di Sabah.

Alhamdulillah, kini saya gembira. Benar seperti sahabat saya itu. Ada perkara baik untuk saya di Sabah.

Saya gembira bekerja di sini. Saya ada bilik sendiri di tempat kerja. Saya berjumpa dengan ramai kawan baru.

Saya ada rakan-rakan sekerja yang baik. MO, jururawat dan MA yang berdedikasi.

Saya diberi peluang berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar post basic di KSKB.

Saya berpeluang mengetahui tentang kewujudan mereka yang bukan warga dan masalah kehidupan mereka.

Buku demi buku saya tulis sehingga sekarang. Dan saya tak akan berhenti menulis lagi.

Ya, mungkin ada kursus penulisan atau acara yang tidak dapat dihadiri kerana jarak yang memisahkan tetapi banyak lagi yang boleh saya lakukan. Mahu pulang melihat orang tua di kampung halaman pun tidak susah dengan adanya banyak penerbangan sekarang.

Sekarang ini, saya pula yang serba-salah apabila ibu bapa minta saya pulang bertugas di Semenanjung.

Sesuatu yang kamu fikir buruk untuk kamu, itulah yang baik untuk kamu bila Allah yang beri.

Adik-adik yang bakal bergelar doktor, jangan sedih-sedih kalau tak dapat posting hospital yang kamu mahukan.

Kamu mungkin tidak suka pada mulanya mendapat tempat yang jauh atau kamu tidak biasa. Kamu marah, sedih, bimbang. Susah hati kerana harus menyesuaikan diri dengan tempat baru.

Positifkan minda.

Hidup penuh dengan cabaran. Bertugas di tempat baru merupakan satu cabaran. Terimalah cabaran ini kerana aturan Allah tidak pernah salah.

Fikirkan ada sesuatu yang baik menanti kamu di tempat baru.

Di tempat baru, kamu akan menemui kehidupan baru. Malah mungkin boleh menemui diri kamu yang sebenarnya yang kamu tidak pernah sedari sebelum ini.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *