Skip to content

Sepasang kasut

Aku ialah sepasang kasut. Aku dibuat di sebuah kilang. Badanku berwarna hitam. Kawan-kawanku ada yang berwarna biru, oren, merah, kuning. Belum puas aku berkawan, aku sudah diasingkan daripada mereka.

Aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Gelap dalam kotak ini. Aku tidak tahu aku dibawa ke mana. Apabila aku dikeluarkan daripada kotak, aku dapati aku sudah tidak berada di kilang tempat kelahiranku. Aku berada di tempat baru.

Aku diletakkan di atas sebuah rak. Tempat baru ini tidak sebesar kilang di mana aku berasal. Tetapi tempat baru ini cantik dan ada tiga orang yang menjaga tempat ini dalam satu-satu masa. Setelah beberapa hari, barulah aku tahu berada di kedai.

Setiap hari ada saja orang datang membelek-belek aku. Ada yang meletakkan aku di kaki mereka. Paling tidak tahan, jika ada kaki yang berbau kurang menyenangkan. Kembang-kempis aku menahan nafas.

Pada suatu hari, seorang perempuan muda datang dan mengangkat aku. Dia membelek badanku berkali-kali. Kemudian aku diacukan pada kakinya. Mujur kakinya tidak berbau busuk.

Perempuan itu bercakap-cakap dengan penjaga aku. Kemudian aku diangkat dan dibawa ke kaunter bayaran. Duit dihulurkan kepada gadis penjaga kaunter. Aku dimasukkan ke dalam kotak yang diletakkan dalam sebuah plastik.

Aku tidak tahu ke mana perempuan muda ini mahu membawa aku pergi pula. Apakah takdir aku selepas ini….

Pernahkah anda membaca karangan seperti di atas?

Adakah karangan ini seperti pernah ditulis atau dibaca?

Ya, saya kira ini antara karangan yang popular semasa saya bersekolah rendah dahulu. Saya tidak tahu pula bagaimana dengan budak sekolah rendah zaman sekarang.

Aku sebatang pen.

Aku sebuah buku.

Aku sehelai baju.

Aku sepasang kasut.

Idea ini tiba-tiba saja tercetus gara-gara peristiwa hari ini.

Semalam saya berhujan ketika pulang dari kerja. Basah kasut kerja saya. Saya menyangka kasut ini akan kering pada hari ini.

Rupa-rupanya meleset jangkaan saya. Kasut ini tidak kering sebagaimana yang saya harapkan. Sedangkan hari ini saya mempunyai mesyuarat rasmi yang perlu dihadiri, mesyuarat dengan pakar-pakar kecemasan dari seluruh Sabah.

Tak kan mahu memakai kasut sukan pula untuk menghadiri mesyuarat rasmi? Terbeliak biji mata ‘big boss’ kalau saya hadir dengan kasut yang tidak formal. Akhirnya saya menyarung kasut separa lembab.

Baru saya sedar saya hanya mempunyai sepasang kasut sukan, sepasang kasut untuk menyelam, sepasang kasut kerja merangkap kasut berjalan-jalan dan dua pasang selipar jepun di Sabah. Hatta sandal pun saya tidak ada.

Memang saya akui susah untuk menemui kasut yang berkenan di hati. Sebab itu saya tidak ada koleksi kasut seperti orang lain.

Nampaknya saya perlu mencari sandal atau sepasang lagi kasut kerja. Sekurang-kurangnya jika kasut basah, saya ada kasut lain atau sandal untuk digunakan.

Dalam apa-apa juga hal yang kita lakukan, perlu ada plan A dan plan B. Usah ada plan A sahaja.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *