Skip to content

Self-published

Lega rasanya setelah dapat menyiapkan buku Permata Hati Ayah: Antologi Cerpen. Buku ini merupakan buku keempat yang saya terbitkan sendiri dan merupakan buku keenam yang sudah ada dalam bentuk fizikal.

Adakah saya gembira?

Sudah tentu.

Saya tidak pernah terfikir akan menerbitkan buku sendiri. Sebelum melakukannya, saya berasakan perkara itu adalah mustahil. Saya tidak ada pengetahuan, pengalaman dan modal untuk menerbitkan buku sendiri sebelum ini.

Namun benarlah, ilmu itu luas. Andai kita mahu, ilmu itu boleh diraih. Cari saja ilmu apa yang kita inginkan.

Saya beli e-book untuk mempelajari bagaimana menerbitkan buku sendiri. Nyata, tidak semuanya ada di dalam e-book tersebut. Banyak yang harus dicari lagi. Saya bertanya dengan pakcik Google. Namun semakin dicari maklumatnya, terasa semakin sukar.

Akhirnya saya nekad untuk meneruskan juga walaupun ilmu masih kurang. Kalau tidak dicuba, saya tidak akan tahu penyudahnya.

Bagaimana mendapatkan nombor ISBN dan PDP?

Bagaimana membuat kod bar yang biasa kita lihat di belakang buku?

Bagaimana membuat reka letak buku?

Bagaimana menghasilkan kulit buku?

Saya akui saya tidak mampu melakukan semuanya seorang diri. Oleh kerana itu saya meminta pertolongan daripada sahabat baik saya untuk menguruskan kulit buku-buku saya. Terima kasih Hafizah ZA.

Saya tidak tahu syarikat pencetak mana yang boleh dipilih, maka saya bertanya dengan mereka yang terlibat dalam industri. Kenalan kepada kawan-kawan.

Networking memang penting.

Apakah yang saya pelajari sepanjang proses menerbitkan buku sendiri?

Banyak.

Mungkin saya harus menulis satu buku mengenai menerbitkan buku sendiri. Tajuknya Mudahnya Menerbitkan Buku Sendiri, walaupun hakikatnya tidak semudah yang disangka.

CINTA
Diari Timin : Kehidupanku di KTAM
Budak Sekolah : Antologi Cerpen
Permata Hati Ayah : Antologi Cerpen

Selepas ini saya akan meneruskan perjalanan. Sama ada saya terbitkan buku sendiri seterusnya atau menjadi pengarang di bawah naungan penerbit lain. Yang penting, saya terus menulis.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *