Skip to content

Selendang

“Abang, selendang siapa kat dalam kereta tu?”
Pertanyaan isteri buat aku tergamam. Selendang? Selendang apa pula ni?

Melihat muka bingung aku, isteri menambah. “Selendang warna merah kat tempat duduk belakang.”

Aku terdiam. Serta-merta fikiran berputar teringat kisah semalam. Meremang bulu roma.
Perempuan itu.

Waktu melepasi jam 12 tengah malam ketika kereta meluncur laju di jalan raya. Kepenatan. Tubuh serasa lunyai. Kursus tiga hari berturut-turut.

Radio mendendangkan lagu melayu yang mendayu-dayu. Bosan betul lagu sekarang. Tak best seperti lagu rock kapak tahun 80-an dan 90-an. Aku biarkan terpasang kerana mahu melawan rasa mengantuk yang menguasai diri.

Apa tu?

Anak mata mengecil, menajamkan pandangan.

Seorang perempuan berkebaya merah melambai-lambai di tepi jalan. Aku perlahankan kereta.
Manusia atau hantu?

Itu perkara pertama yang terlintas di fikiran.

Aku serba-salah. Mahu berhenti atau tidak?

Kasihan pula kalau betul dia manusia. Kalau hantu, aku pula yang harus dikasihani.
Berperang dengan diri, aku berhentikan juga kereta. Cermin kereta kuturunkan.

“Abang, boleh tolong saya. Saya manusia, bukannya hantu. Abang jangan bimbang.” Tak berhenti perempuan itu bersuara dengan cemas. Laju percakapannya.

“Okay, okay.”
Perempuan itu masuk secepat mungkin dan duduk di sebelahku.

“Err… rumah awak kat mana? Awak nak pergi mana sebenarnya?”

Perempuan itu menjawab dengan suara yang perlahan. Nyaris tak kedengaran.

Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran. Namun tak terluahkan.

Kesunyian mengisi ruang. Tiba-tiba….

Aku menekup hidung. Bau busuk apa ni? Hampir termuntah aku dibuatnya. Lekas-lekas kuturunkan cermin kereta.

Aku menoleh ke sebelah. Perempuan berkebaya merah kelihatan tersipu-sipu. “Sorry bang, saya terkentut. Perut saya memulas-mulas dari tadi.”

Ish… teruk betul dia ni. Harap muka cantik tapi perangai… sekurang-kurangnya bagilah amaran supaya aku lebih bersedia.
“Eh, berhenti bang. Berhenti!”
Terkejut lagi sekali aku dibuatnya. “Kenapa? Kenapa?”

“Depan tu simpang masuk ke rumah saya.” Simpang jalan yang hampir tak kelihatan.
Aku berhentikan kereta. Dia turun selepas mengucapkan terima kasih. Lima minit selepas dia pergi, aku masih terpaku di kereta. Kenapa perasaan ingin tahu begitu membuak-buak?

Betulkah rumah dia di dalam sana?

Manusia tidak akan berpuas hati selagi perasaan ingin tahu tidak terpenuh. Salah satu contohnya ialah diriku sendiri. Entah apa yang merasuk aku untuk keluar dari kereta dan berjalan menyusuri simpang kecil itu.

Aku tergamam. Simpang kecil itu mati begitu saja. Tidak ada jalan lain ke dalam hutan. Ke mana perempuan itu pergi?

Cepat-cepat aku kembali ke kereta dan memandu pergi. Jantungku berdebar. Berdegup pantas. Hingga sampai di rumah, aku masih teringat perempuan berkebaya merah.
Manusia atau?

“Abang, abang tak jawab lagi soalan saya. Selendang siapa dalam kereta?”
Ah, kacau. Seingat aku perempuan itu keluar dengan selendangnya. Bila masa pula dia tanggalkan selendangnya dan tinggalkan dalam kereta aku.

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *