Skip to content

Sederhana

Hidup bersederhana.
Semakin bertambah usia, saya menyedari bahawa dalam hidup ini kita tidak perlu ada segalanya. Kita hanya perlukan apa yang kita perlukan.
Duit, harta bukan lagi matlamat utama dalam hidup. Bukan lagi buruan utama saya. Dahulu ketika muda, saya mengaku bercita-cita ingin menjadi kaya. Ingin menjadi kaya hingga tak terkira duit dalam bank. Berkepuk-kepuk dalam simpanan.

Bukan juga saya ingin mengatakan duit tak penting. Zaman sekarang kita perlukan duit.

Duit diperlukan. Tapi dalam kadar yang perlu. Selebihnya yang ada disalurkan kepada orang lain yang memerlukan. Sejak mengerti hakikat itu, saya latih diri untuk lebih rajin bersedekah.

Duit yang banyak boleh membeli makanan yang mahal namun tak mampu membeli selera yang hilang.

Duit yang banyak boleh membeli katil dengan tilam empuk namun tak mampu membeli tidur yang nyenyak.

Duit yang banyak boleh membawa kita ke tempat percutian mewah berbintang-bintang namun tak mampu membeli ketenangan fikiran.

Bila jadi kaya, jadi orang kaya yang bertakwa. Hidup dalam kesederhanaan. Tak menunjuk-nunjuk. Memberi hak pada mereka yang memerlukan. Kerana dalam harta kita, ada hak orang lain. Hak mereka yang berhak.
Kalau Tuhan nak tarik nikmat kekayaan yang ada, sekejap saja. Mudah saja pada Tuhan.

Kita memberi kerana kaya jiwa. Jika kaya harta tapi miskin jiwa, tetap tak memberi. Oleh itu, kita hanya perlukan jiwa yang kaya untuk memberi.

Bila dikatakan memberi, tak semestinya dengan duit. Beri apa saja yang kita ada. Ilmu, tenaga, idea, senyuman, kasih sayang.

Sederhana dalam kehidupan. Untuk lebih damai menghadapi hari demi hari. Tak kalut. Tak kelam-kabut. Mengejar kaca yang mudah pecah berderai. Mengejar ilusi.
Fokus pada masa sekarang dengan bersederhana. Sederhana.
Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *