Skip to content

Saya masih muda

 

“Pesakit katil satu?” Tanya saya pada MO untuk mengetahui diagnosis.

“Rasanya CVA.” Jawab MO sambil memandang pesakit.

Saya mengerutkan dahi. Biar betul? Pesakit itu kelihatan jauh lebih muda daripada saya. Pangkat adik rasanya.

“Umur dia berapa?”

“29 tahun.”

Bertambah kerutan di dahi. Asyik berkerut dahi macam ni cepat nampak tua la saya.

“Kenapa CVA?” Saya ingin mengetahui mengapa MO membuat diagnosis itu.

“Katanya pagi tadi tiba-tiba kaki dan tangan sebelah kanan lemah.”

Saya menghampiri perempuan yang setia berdiri di sebelah lelaki itu. Pasti isterinya. Tekaan saya tidak meleset.

Saya bertanya dan isteri pesakit bercerita.

Pagi ini suaminya bangun kerana mahu membuatkan susu untuk bayi kecil mereka. Tiba-tiba dia terdengar bunyi benda jatuh di dapur.

Bergegas dia ke dapur. Dilihatnya suaminya sudah terjelepuk di lantai. Bayi erat dalam dukungannya. Tangan dan kaki kanannya langsung tidak dapat digerakkan. Hanya tangan dan kaki kiri yang tergapai-gapai dalam dia berusaha bangun.

Mujur tidak ada apa-apa yang menimpa bayi mereka.

Suaminya tidak dapat bercakap langsung.

Saya cuba bertanya soalan. Mulutnya dibuka seakan-akan mahu bercakap tetapi tidak ada suara yang keluar. Tapi dia faham bila saya minta dia gerakkan kaki dan tangan. Mukanya nampak tertekan kerana dia gagal untuk bersuara.

Ternyata tangan dan kaki kanannya lemah berbanding bahagian kiri.

Umurnya baru 29 tahun. Muda. Lebih muda daripada saya. Namun penyakit sekarang tidak mengenal usia.

Kita berfikir akan bangun tidur dan melalui rutin hidup seperti biasa. Tidak pernah terlintas di fikiran dugaan seperti ini akan berlaku. Dugaan yang akan merubah kehidupan pada masa akan datang.

Hargai masa muda sebelum tua. Sihat sebelum sakit.

CVA Cerebrovascular accident or stroke. Orang melayu panggil angin ahmar.
Terima kasih Marriatyi Morsin yang bertanya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *