Skip to content

Sahabat

“Aku mahu jadi sahabat kau sampai mati.”
Aku senyum. “Aku pun mahu jadi sahabat kau sampai bila-bila.” Balas aku senang. Bahagia dengan kehadirannya.
Dia, B yang sentiasa ada tatkala aku memerlukan seseorang untuk menjadi pendengar kepada masalah harianku.
Dia, B yang sentiasa tak pernah meninggalkan aku dalam apa keadaan.

“Sampai hati dia buat aku macam ni.” Aku menangis tersedu-sedan. Sedih betul hati ini diperlakukan begini oleh orang yang dikasihi. Teman lelakiku, C menduakan aku. Dalam diam dia mempunyai orang lain.

Macam mana hal ini boleh terbongkar. Kerana gadis itu sendiri yang menghubungiku, meminta aku berpisah dengan C kerana dia sudah terlanjur mencintai C. Gadis itu tak mahu berkongsi kasih C denganku.

Ah, mengapa aku pula yang harus mengundur diri. Sedangkan aku yang lebih dahulu mengenali C.

Bila aku tanyakan C, jawapannya menghancurkan hatiku. Kata C, dia menyayangiku dan gadis itu. Sama banyak kasih sayangnya. Bagaimana seorang lelaki boleh mencintai dua orang perempuan dalam masa yang sama? Aku memang tak faham dengan hati lelaki.

C tidak tahu mahu pilih siapa. Aku atau gadis itu. Katanya tak mungkin dia boleh memilih. Gila betul C.
“Kau mahu aku bunuh C?” Pertanyaan B aku sahut dengan gelak tawa yang tak ikhlas.

“Kalaulah aku boleh bunuh C, memang aku bunuh.” Jawabku dengan perasaan sakit hati. Sakit hati kerana dipermainkan oleh orang yang aku sayang.

“Cik, cik kenal dengan C?” Kehadiran anggota polis di pejabat tempat aku bertugas bukan saja mengejutkan aku. Malah menyebabkan orang lain berbisik-bisik sesama sendiri.

Aku mengangguk. “Ya, dia teman lelaki saya.”

Kata-kata polis yang seterusnya mengejutkan aku. Menurut polis, C mengalami kemalangan namun dipercayai ada unsur khianat.
Aku ternganga.

Entah kenapa, wajah B yang menerpa dalam kotak fikiran.

Tak berapa lama kemudian, B menghubungiku.
“Kau dah tahu apa berlaku pada C?” Suara B tenang.
Aku terdiam mendengar soalan B. “Apa maksud kau?”

“Kau kan sahabat aku. Aku akan buat apa saja untuk sahabat aku.”
“Kau… kau ada kaitan dengan apa yang berlaku pada C?” Berdebar-debar aku menunggu jawapan B.

“Kau yang mahu. Aku buat apa yang kau mahu. Kita kan sahabat sampai mati.”

Aku senyap terus. Takut.

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *