Skip to content

Sabar Menunggu Buku Terbit

Buku Sehari di A&E ada sejarah tersendiri.

Saya bermula dengan menulis catatan demi catatan selepas pulang dari tempat kerja. Habis satu syif, saya akan menulis kisah-kisah yang berlaku di tempat kerja. Kes yang saya kendalikan, ragam pesakit yang dirawat dan gelagat ahli keluarga pesakit yang menduga kesabaran.

Saya kira menulis itu satu terapi apabila saya letih sehabis kerja atau melepaskan tekanan yang terbuku. Menulis jauh lebih baik daripada saya melakukan perkara yang bukan-bukan.

Habis satu buku tulis saya penuhkan dengan catatan, saya gantikan dengan buku lain pula. Apabila melihat sudah banyak catatan yang terkumpul, timbul keinginan untuk menukarkan catatan ini menjadi sebuah buku.

Saya mencetak hasil tulisan saya dan mengumpulnya menjadi sebuah buku. Langkau dua baris, tulisan Times New Roman saiz 12, dapatlah dalam 200 helai kertas A4. Saya tulis surat sisipan yang ditujukan kepada editor menyatakan hasrat saya untuk melihat karya ini terbit.

Saya poskan manuskrip ini dengan penuh harapan dan doa semoga ianya diterima. Tahun 2007 kalau tidak silap saya pada waktu itu. Tinggi impian saya mahu melihat karya yang diberi judul Sehari di A&E menemui khalayak pembaca.

Editor syarikat tersebut menyatakan minat untuk menerbitkan karya saya dan ingin berbincang secara bersemuka. Saya berangkat ke pejabat penerbit dan berjumpa dengan pihak editor. Itu pertama kali jumpa editor syarikat buku, saya rasa berdebar-debar.

Menurut editor, karya saya boleh diterbitkan tetapi mereka mahu saya menambah isi yang ada. Apa yang telah saya siapkan terlalu nipis untuk dijadikan buku katanya. Jika saya boleh menulis lebih banyak catatan, mereka akan menerbitkan buku ini.

Saya pulang dengan semangat yang berkobar-kobar. Tetapi entah ke mana hilangnya semangat itu. Saya tidak meneruskan catatan tersebut. Saya tidak tahu mengapa.

Dua tahun selepas pertemuan saya dengan editor, saya mendapat sepucuk surat dari pihak syarikat penerbit menyatakan mereka meminta maaf kerana tidak dapat menerbitkan karya saya. Manuskrip dipulangkan dalam keadaan baik dalam sampul surat kuning besar.

Berkecai harapan saya melihat buku sulung saya terbit.

Salah siapa?

Salah saya sendiri kerana tidak mematuhi kehendak syarikat penerbit yang mahukan isi yang lebih tebal? Salah syarikat kerana tidak mahu menerbitkan karya yang nipis?

Bukan salah sesiapa. Belum masanya untuk karya itu terbit.

2013….
Saya menghantar proposal Sehari di A&E kepada syarikat Truewealth beserta bab contoh. Alhamdulillah, pihak Truewealth menyukai Sehari di A&E dan mahu menerbitkannya.

Kali ini saya bersungguh-sungguh memperbaiki dan menambah isi dalam Sehari di A&E. Alhamdulillah.

Lapan tahun selepas saya menyiapkan edisi sulung Sehari di A&E, impian saya menjadi kenyataan. Buku ini sudah berada di tangan pembaca dan rata-rata memberi komen yang memberangsangkan.

Lapan tahun bukan jangka masa yang pendek. Kalau ada anak, sudah bersekolah darjah dua.

Sabar menunggu buku terbit, penulis harus memiliki kesabaran. Ada masanya kita rasa mahu mengalah apabila karya yang ditulis masih gagal terbit. Tetapi yang penting jangan putus asa.

Teringat perbualan dengan seorang teman penulis. Katanya dia menunggu selama enam tahun untuk melihat karya sulungnya terbit. Pertukaran editor syarikat, buku dirombak berkali-kali, namun dia tetap sabar menanti kerana yakin dan percaya suatu hari nanti bukunya akan terbit jua. Dan Alhamdulillah bukunya sudah terbit kini.

Published inBukustetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *