Skip to content

Sabar itu akan datang

Mengurus manusia memang pening.

Dahulu bekerja berhadapan dengan pesakit saja. Sekarang mengurus orang bawahan. Tidak mudah tetapi tidak mustahil.

Dahulu saya panas baran yang amat. Sikit-sikit nak marah. Pesakit sibuk nak MC, memang saya panas hati. Asyik nak ajak bergaduh bila orang pertikaikan.

Orang hempas pintu, saya tumbuk meja. Sehingga MA saya pula ngeri takut saya jadi incredible hulk, maka dia menenangkan saya.

Kalau kerja syif malam, menjelang pukul 1 pagi, perut saya main lagu rap. Bila nampak saya dah resah gelisah, jururawat akan suruh saya pergi isi perut. Tidak mahu saya lapar dan berang dengan pesakit.

Menginjak ke umur 30-an, mula menjadi orang yang bersabar. Daripada bertikam mulut, saya ambil keputusan mengalah dan mengundurkan diri.

Pernah saya tinggalkan begitu saja orang yang marah-marah saya hingga terlopong dan terdiam orang itu dibuatnya apabila saya angkat kaki beredar pergi.

Sudah menghampiri ke 40-an, semakin tinggi sabar itu. Orang marah saya sudah boleh mengamalkan jurus hikmat kesabaran mendengar dengan tenang. Tidak seperti zaman 20-an dulu.

Melihat MO junior seperti melihat diri saya yang dahulu. Kerana saya pernah berada di tempat mereka. Kerana itu saya cuba sabarkan mereka jika ada apa-apa perkara yang membuatkan mereka melenting.

Dan saya juga yang sekarang tidak mudah naik darah. Kalau saya yang dahulu, pasti setiap hari MO saya akan menikus bila saya tengking dan marah-marah. Namun kerana tingkat kesabaran sudah bertambah, maka saya masih mampu menahan lidah dan menegur mereka tanpa meninggikan suara.

Sepertimana kata rakan baik saya Hafizah ZA. Sabar itu akan datang.

Bertambahnya usia, bertambah tingkat kesabaran.

Motif posting hari ini: Saya marah dengan MO hari ini. Balik rumah dapat pekena aiskrim green tea, hati dah sejuk balik.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *