Skip to content

Rumah Depan Kaabah

Ini drama kedua yang saya tonton sepanjang berada di kampung halaman. Seperti biasa, tidak bercadang untuk tengok tetapi menonton kerana temankan emak. Alasan.

Kisah Pak Syahid yang hidup seorang diri di kampung selepas ketiadaan isterinya. Anak lelaki dan anak perempuannya tinggal bersama keluarga masing-masing.

Pak Syahid seorang yang murah hati. Sentiasa bersedekah dan suka menolong orang lain walaupun dia sendiri bukan orang kaya.

Ketika Hasan, salah seorang penduduk kampungnya menghadapi masalah kewangan kerana isterinya terpaksa menjalani pembedahan, dia meminta tolong daripada Pak Syahid. Pak Syahid sanggup meminjam duit daripada Kassim dengan mencagarkan geran tanahnya bagi mendapatkan duit yang dipinta Hasan.

Malah Pak Syahid membelanja makan seorang insan tidak berumah yang ditemuinya di tepi jalan. Dia tidak pernha berkira dengan duit yang dikeluarkan untuk orang yang dikenali mahupun yang tidak dikenalinya.

Ya Allah, berilah jalan kepadaku untuk membayar hutang-hutangku.

Doa Pak Syahid apabila hampir tiba masa yang dijanjikan untuk membuat bayaran kepada Kassim atau tanahnya tergadai.

Doa Pak Syahid dimakbulkan. Seorang lelaki, ahli perniagaan kaya datang ke rumah Pak Syahid memberi hadiah duit. Pak Syahid pernah menolong ahli perniagaan ini semasa dia menghadapi masalah untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tanpa bertanya nama lelaki ini, Pak Syahid memberi RM100 untuk tambang pulang ke Kuala Lumpur. Ahli perniagaan itu terhutang budi dengan kemurahan hati Pak Syahid.

Pak Syahid ingin sangat menunaikan haji tetapi hasratnya tidak tercapai kerana ajalnya tiba dahulu.

Anak-anaknya sendiri tidak tahu bahawa ayahnya seorang yang suka bersedekah dan menolong orang lain.

“Ayah tak kaya tapi rezekinya tak pernah putus.”

“Ayah buatkan seolah-olah harta senang dicari.”

“Ayah tahu rahsia sedekah. Malah ayah amalkan bersedekah.”

“Ayah tahu bahawa apa yang kita miliki selama ini bukan hak kita. Harta kekayaan yang kita ada semuanya milik Allah. Bila-bila masa saja Allah boleh beri, bila-bila masa saja Allah boleh tarik balik.”

Malah Pak Syahid memberi wang untuk seorang anak muda jirannya yang mahu belajar pengajian agama di luar negara.

Cerita yang bagus boleh mendidik hati mereka yang menontonnya. Saya suka cerita ini.

Mesej utamanya mengenai amalan bersedekah. Rajin-rajin mengamalkan sedekah kerana keajaiban amalan ini tidak tergambar. Kita tidak akan menjadi miskin dengan bersedekah.

Bersedekah bermakna kita yakin dengan Allah yang memberi rezeki kepada kita.

Tidak dapat bersedekah wang ringgit, sedekah dengan tenaga dan buah fikiran, boleh juga sedekah senyuman.

Jangan pula bersedekah dan mengharapkan balasan. Lain pula jadinya.

Sedekah tidak akan mengurangkan harta kita, sebaliknya menambah harta untuk di alam sana.

Tidak dapat sedekah yang banyak, kita mulakan dengan jumlah yang sedikit. Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu tahu.

Tidak perlu menunggu menjadi orang kaya untuk mula bersedekah. Bersedekah waktu kita tidak punya apa-apa itu lebih bagus. Kerana kita tahu bagaimana rasanya tidak punya apa-apa.

Tahu amalan bersedekah itu baik tetapi tidak amalkan, maka tiada gunanya. Tahu dan amalkan, itu yang terbaik.

Bersedekah untuk ketenangan hati. Rezeki yang sedikit itu terasa cukup jika disulam dengan amalan bersedekah. Kerana di situ letaknya erti rezeki yang berkat.

Mari kita mula bersedekah.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *