Skip to content

Pesakit pertama saya yang meninggal dunia

“Doktor, tolong bapak saya!” Lelaki itu merayu-rayu dengan saya tanpa segan-silu. Matanya merah, pipinya basah dengan air mata.

“Encik, kami sedang berusaha menolong bapak encik.” Jawab saya.

Pesakit itu masih tercungap-cungap untuk bernafas. Saya telah melakukan segala yang terdaya dalam kemampuan saya.

Baru beberapa hari saya berada dalam wad perubatan untuk posting medikal selama empat bulan. Ingin saja saya menjerit mengatakan saya sudah buat segalanya yang saya tahu. Saya cuma seorang houseman.

Wanita tua yang merupakan isteri kepada pesakit ini sudah tidak terkata apa. Air matanya bercucuran tanda kesedihan yang tidak terperi.

Saya sudah menghubungi MO saya tetapi bayangnya masih tidak kelihatan. Kawan saya yang merupakan houseman senior menolong saya dalam melakukan perawatan ke atas pesakit ini.

Tiba-tiba pesakit itu tidak sedarkan diri. Denyut nadinya tidak dapat dikesan. Segera kami melakukan CPR. Belakang baju saya sudah lencun dengan peluh. Saya benar-benar ketakutan. Saya tidak mahu pesakit ini mati. Saya tidak bersedia.

Namun benarlah, ajal seseorang itu tidak terlambat atau tercepat walau sesaat. Jika sudah sampai masanya, seseorang hamba akan pergi menemui Penciptanya.

Dengan berat hati saya menyampaikan berita buruk kepada keluarga pesakit. Mereka menerimanya dengan deraian air mata dan ratapan hiba.

Pertama kali pesakit yang saya rawat meninggal dunia….

Saya tersedar dari hakikat. Seolah-olah ada batu besar yang menghempap kepala. Saya bukan seorang mahasiswa fakulti perubatan lagi!

Saya seorang doktor sekarang. Kerjaya seharian saya melibatkan nyawa seorang. Bukan pesakit itu sahaja, kesannya pada ahli keluarga pesakit juga. Tidak ada istilah main-main dalam bidang kerjaya perubatan.

Peristiwa hampir 12 tahun lalu masih berbekas dalam ingatan. Sehingga hari ini masih basah dan jelas seolah-olah baru semalam ianya berlaku.

Ketika itu ingin saja saya mengaku kalah dan menarik diri kerana tidak sanggup menghadapi kematian pesakit yang saya rawat. Alhamdulillah Tuhan berikan kekuatan untuk saya meneruskan perjalanan hidup sebagai seorang doktor sehingga ke saat ini.

Menerima hakikat bahawa kita berdepan dengan kematian dan sesungguhnya jika telah tiba masanya, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan kerana Tuhan Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui di atas segala-galanya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *