Skip to content

Perkenalan di alam siber

 

Sedang sibuk menyiapkan kerja melukis pelan yang diarahkan oleh boss namun mata saya sempat menjeling ke kaca televisyen.

Maklumlah rumah sendiri tiada siaran televisyen. Sesekali dapat peluang menonton televisyen, apa salahnya.

Saya bermalam di rumah sahabat baik saya ketika itu. Dia sudah belayar di alam mimpi. Sedangkan saya masih berjaga untuk melunaskan kerja yang diberikan.

Saluran Criminal Investigation di Astro. Daripada satu siri ke siri lain saya tonton tanpa sedar masa berlalu. Mengasyikkan juga walapun siri yang berkisarkan penyiasatan jenayah.

Siri pertama.

Kisah seorang anak gadis berusia 13 tahun, Christina yang berkenalan dengan lelaki melalui online. Tidak cukup dengan chatting di internet, si lelaki mengusulkan pertemuan.

Bukan seorang lelaki saja, sebenarnya ada dua orang lelaki yang jauh lebih berumur daripadanya.

Ibunya tidak tahu dia berhubung dengan lelaki yang tidak dikenali. Perkara ini hanya terbongkar apabila Christina tidak pulang ke rumah selepas keluar menemui rakannya.

Ibunya menyangka dia keluar menemui rakan sekolah.

Pukul 1 pagi detektif datang ke rumah ibu Christina untuk menyiasat perkara ini. Apabila komputer dibuka dan mereka membaca perbualan antara Christina dan rakan lelakinya, si ibu sangat terkejut dan bimbang akan nasib anaknya.

Pihak berkuasa lekas menyiasat dan menangkap dua lelaki berdasarkan nama skrin yang digunakan.

Seorang lelaki sudah berhubung dengan Christina sejak gadis itu berusia 12 tahun. Dia tidak kisah walaupun mengetahui umur gadis itu.

Seorang lelaki lagi pada mulanya berdalih mengatakan tidak berjumpa dengan Christina. Namun apabila disiasat lebih jauh oleh pihak polis barulah dia mengakui bahawa Christina telah mati di tangannya.

Si ibu sangat sedih dengan nasib anaknya. Gara-gara perkenalan di alam siber, anaknya menemui maut.

Siri kedua.

Seorang perempuan yang sudah bersuami curang dengan suaminya apabila menjalinkan hubungan dengan sahabat baik suaminya.

Tidak cukup dengan itu, dia membunuh suaminya dan menuduh adik lelakinya yang melakukan jenayah tersebut.

Siri ketiga.

Seorang ibu tunggal yang baru berusia 20 tahun dibunuh oleh teman lelakinya. Teman lelakinya enggan memberitahu pihak polis di mana mayat perempuan itu dibuang.

Mujur komuniti yang membuat gerakan mencari besar-besaran berjaya menemui mayat perempuan muda itu. Keluarganya sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anak mereka.

Siri keempat.

Seorang wanita kepada lima anak dibunuh dengan kejam di rumah sendiri. Tidak cukup dengan satu tembakan di muka yang gagal menamatkan riwayatnya, wanita itu ditetak dengan pisau dapur. Luka di leher akibat tetakan pisau menyebabkan dia kehilangan darah yang banyak dan menemui ajalnya.

Anak sulungnya yang baru pulang dari sekolah terkejut apabila menemui mayat ibunya di dapur rumah mereka. Manakala empat anak kembarnya yang berusia 23 bulan berkeliaran di sekitar mayat ibu mereka kerana tidak tahu apa yang terjadi.

Siapa pembunuh kejam ini?

Saya tidak tahu kerana sudah tertidur sebelum sampai ke penamat cerita.

Begitu banyak jenayah di sekitar kita. Walaupun cerita yang ditayangkan daripada luar negara, namun saya pasti di negara kita yang tercinta ini jenayah kejam semakin menjadi-jadi.

Saya berkongsi kisah yang saya tonton ini kerana hanya mahu kita berhati-hati walaupun berada di rumah sendiri.

Berdoa kepada Allah agar kita dan keluarga serta rakan-rakan berada di bawah perlindungan-Nya dan dijauhkan daripada perkara-perkara buruk.

P.S : Terima kasih Hazfadzila Mohd Unit kerana tumpangkan musafir ini, belanja makan malam dan belanja aiskrim Magnum putih. Jumpa lagi lain kali ?.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *