Skip to content

Perjalanan menuju ke puncak

Semalam seorang rakan mengajak untuk mendaki bukit Gundul. Tanpa berfikir panjang, pantas saya bersetuju memandangkan tidak ada apa-apa program pada waktu pagi.

Pagi hari kami memulakan perjalanan tanpa mengetahui secara tepat di mana destinasi yang akan dituju. Hasil bertanya dengan orang, kami sampai di tempat tersebut.

Pada mulanya rasa was-was dan kurang percaya kerana terdapat jentolak yang sedang menarah bukit di situ. Kami bertanya lagi kerana kata orang, malu bertanya sesat jalan.

Betul, lelaki yang berdiri berhampiran jentolak itu mengiyakan. Dia menunjukkan arah mana kami perlu ikut untuk sampai ke bukit.

Perjalanan dimulai dengan perasaan tidak tahu dan tidak pasti bila kami akan sampai, sejauhmana kami harus melangkah sebelum sampai ke puncak. Namun yang penting kami mempunyai matlamat iaitu mahu sampai di puncak bukit Gundul.

Jalan menuju ke puncak tidak kelihatan jelas, terlindung dengan lalang yang merimbun dan tumbuhan liar yang hidup. Termengah-mengah juga dibuatnya kerana sudah lama tidak mendaki mana-mana bukit atau gunung.

Perjalanan menuju ke puncak mengingatkan saya pada kehidupan ini. Ada persamaannya. Dalam hayat kita ini, ada masanya kita tidak pasti adakah kita akan berjaya atau kecundang di pertengahan jalan.

Sepertimana saya menyimpan impian untuk menjadi penulis atau bercita-cita menyandang gelaran seorang doktor. Tidak pernah terlintas kedua-duanya akan menjadi kenyataan. Kerana hakikatnya banyak yang ditempuhi dalam mencapai apa yang diidamkan.

Pernah terfikir mahu meletakkan jawatan kerana sudah penat melayan emosi yang sarat dengan kesedihan dan kemarahan. Enggan meneruskan penulisan buku yang sudah dimulakan kerana terasa sia-sia saja melakukannya. Rasa tidak mampu untuk menghabiskannya.

Tetapi di saat-saat akhir ini, itulah detik yang paling kritikal. Ketika kita rasa mahu mengibar bendera putih kerana sudah tidak berdaya. Waktu di mana kita perlu terus maju ke depan walau betapa sukar sekali pun, mengatasi segala halangan.

Puncak bukit Gundul tampak dekat namun masih belum dapat ditawan, kami perlu cekalkan hati untuk terus mendaki. Walau kaki sudah terasa seperti jeli, lutut terasa mahu tanggal.

Ini pilihan kami pada pagi ini, iaitu menawan bukit Gundul, maka lebih baik kami selesaikan misi yang sudah di pertengahan.

Sampai di puncak, terbang segala penat lelah yang bersarang. Berbaloi rasanya peluh yang tercurah. Hijaunya rumput begitu kontras dengan kebiruan awan. Tiada kata yang dapat menggambarkan keindahannya.

Indahnya alam ciptaan Tuhan.

Namun ganjaran bukan dari segi menikmati pemandangan cantik di puncak semata-mata, pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan, itu lebih berharga.

Menguatkan tekad dan semangat, mengerah kudrat fizikal, pertolongan teman-teman yang mendaki bersama, semuanya adalah adunan dalam perjalanan hari ini.

Pada waktu diri rasa mahu mengalah, saat itu detik yang tepat untuk kita terus melangkah….

P.S: Kredit gambar kepada WaWa Is

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *