Skip to content

Percaya dengan diri sendiri

 

Di ASA + FNA Conference 2015 di Darwin salah seorang pegawai perubatan dari Hospital Likas iaitu Kamilah berpeluang berucap di depan semua delegasi.

Slot itu ialah slot kedua pada hari kedua konferens. Slot untuk ketua jabatan saya berucap tentang pemindahan pesakit yang terlibat dalam letupan lombong arang batu di Selantik, Sarawak.

Kamilah merupakan salah seorang doktor yang terlibat dalam pemindahan pesakit daripada Sarawak ke Sabah.

Maka ketua jabatan saya dan Kamilah bersama-sama bercakap dalam slot tersebut.

Sebelum hari sebenar tiba, Kamilah telah melakukan persediaan rapi. Berlatih bercakap supaya lancar.

Usaha gigihnya dapat saya saksikan sendiri semasa kami berada di bumi Darwin.

Tetapi dia seperti tidak yakin untuk berucap di khalayak yang terdiri daripada masyarakat mat saleh memandangkan kami saja pasukan dari Malaysia. Majoriti delegasi ialah warga Australia. Peserta konferens dari negara lain seperti New Zealand dan Kanada.

Ada masanya dia seakan-akan mahu menyerah kalah dan tidak mahu meneruskan slot bercakap. Saya dan Amei memberi kata-kata perangsang agar dia bersemangat untuk bercakap.

Sayang sudah sampai di Darwin tetapi tidak meneruskan. Bukannya senang mendapat peluang untuk bercakap di konferens antarabangsa. Calang-calang orang boleh melakukannya.

Kamilah akur dengan saranan kami.

Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba.

Saya melihat dia. Saya suruh dia berselawat. Semoga diberi ketenangan dan kelancaran untuk bercakap.

Apabila tiba gilirannya, dia naik ke pentas dan mula berucap. Saya melihat sekeliling, khalayak fokus pada apa yang disampaikannya.

Ketawa apabila ada unsur yang melucukan. Terkejut melihat gambar pesakit yang cedera akibat letupan lombong arang batu. Badan pesakit hitam diselubungi arang batu.

Ternyata bagus reaksi yang diberikan penonton. Masa Kamilah bercakap berlalu dengan pantas. Sedar-sedar dia sudah duduk kembali di kerusi dan Cheah menyambung slot mereka.

Akhirnya selesai misi Kamilah di Darwin.

Ketika waktu petang, dua orang delegasi bertanya dengan saya apa yang terjadi kepada pesakit yang dipindahkan oleh Kamilah dan Cheah. Ketika itu Kamilah belum masuk ke bilik konferens lagi. Saya meminta mereka bertanya dengan Kamilah kerana saya mahu dia menceritakannya sendiri kepada mereka.

Ternyata mereka seronok mendengar Kamilah bercerita tentang pesakit itu. Pesakit sembuh selepas dirawat di hospital.

Semasa majlis makan malam di Pee Wee, beberapa orang delegasi berjumpa dengan Kamilah.

“It’s a nice presentation. I enjoy your talk.” Seorang delegasi wanita memuji sambil tersenyum.

Kamilah menyatakan dia panik sebenarnya ketika berada di atas. Dia pun tidak sedar apa yang dikatakannya.

Selepas wanita itu berlalu pergi, saya katakan pada Kamilah. Jika orang memuji kita, ucapkan terima kasih dan ‘move on’. No need for them to know how panic we are on the stage. Mereka memuji dengan ikhlas dan sewajarnya dibalas dengan ucapan terima kasih.

“You should present again next year. I love your presentation.” Itu komen seorang delegasi yang lain.

Bercahaya wajah Kamilah mendengarnya.

Ini membuatkan saya terfikir. Kita orang Malaysia ini, kadang-kadang tidak percaya dengan kebolehan diri sendiri. Sedangkan orang lain melihat ada potensi dalam diri kita. Kita tidak yakin adakah ucapan kita bagus atau tidak, adakah ‘presentation’ kita memikat perhatian penonton atau membosankan mereka.

Apa yang saya belajar di sini, yakin dengan diri kita. Buat saja dahulu. Biarlah orang lain yang menilai hasilnya. Jika bagus, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, kita belajar dan memperbaiki diri sendiri.

Saya bangga dengan Kamilah. Dia telah memberanikan diri bercakap di hadapan delegasi antarabangsa. Sedangkan saya sendiri tidak pernah melakukannya. Insya Allah, satu hari nanti saya akan melakukannya. Saya belajar daripada keberanian Kamilah hari itu.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *