Skip to content

People that we met

 

Berkursus di Da Nang menemukan saya dengan manusia dari pelbagai negara. Peserta terdiri daripada 20 buah negara. Memandangkan kursus di Vietnam, maka majoriti peserta adalah rakyat Vietnam.

Salah seorang yang ditemui ialah Lan Dang.

Seawal perkenalan, Lan membuatkan saya kagum dengannya.

Kata Lan, dia berumur 5 tahun ketika Vietnam dilanda peperangan. Kenangan zaman kanak-kanak Lan menyedihkan.

Bapa Lan bekerja sebagai doktor manakala ibunya pula merupakan jururawat.

Sewaktu zaman peperangan, Lan sangat takut. Dia tidak boleh lupa bagaimana dia menyorok di bawah katil kerana bunyi bom yang gugur begitu kuat.

Dia keseorangan di rumah.

Ayahnya di medan peperangan, bertugas merawat perajurit mereka yang tercedera. Ibunya pula di hospital, jururawat yang sangat berdedikasi dalam pekerjaannya.

Abangnya yang berusia 10 tahun sudah dipindahkan oleh pihak berkuasa ke tempat lain. Alasan pihak berkuasa, tidak mahu semua orang terbunuh dalam peperangan itu. Maka kanak-kanak lelaki dikumpulkan dan dihantar ke tempat lain.

Selepas habis bertugas, ibunya pulang ke rumah. Tinggal mereka berdua saja. Tetapi dia keseorangan setiap kali ibunya pergi bekerja.

Lan membesar di bawah jagaan ibunya. Abang dan ayahnya tidak tahu khabar berita. Entah hidup entah kan sudah tiada. Ibu Lan tetap menyimpan harapan suami dan anak lelaki yang disayangi masih hidup lagi. Manakala Lan sudah berhenti berharap. Dia akur dengan takdir bahawa ibunya ialah satu-satu ahli keluarganya yang masih ada.

Dua puluh tahun berlalu….

Ayah dan abang Lan kembali ke pangkuan keluarga. Mereka bersatu semula sebagai sebuah keluarga setelah bertahun-tahun peperangan memisahkan mereka.

Mendengar kisah Lan membuatkan saya terdiam berfikir. Begitu sekali perjalanan hidupnya. Sehingga sekarang Lan masih fobia tatkala bunyi kuat kedengaran kerana teringat bom yang jatuh berguguran.

Begitu tabah Lan dan ibunya serta masyarakat mereka menghadapi apa yang berlaku.

Saya katakan pada Lan, “Your experience is so valuable. You have book material. You should write book.”

Saya sempat menawarkan diri untuk menjadi ‘ghost writer’ kepada Lan. Dia menolak dengan baik, katanya mahu menulis sendiri pengalamannya itu suatu hari nanti.

Penderitaan mereka menyebabkan saya menilai kembali hidup saya. Ternyata hidup saya tidak segetir itu. Malah tidak getir langsung. Kesusahan Lan dan kesedihan yang dirasai kerana perpisahan ahli keluarga tidak terkata.

Kadang-kadang kita merasakan kehidupan kita sukar, sedangkan di luar sana ada insan lain yang lebih menderita. Malah apa yang mereka lalui tidak dapat kita bayangkan.

Bersyukur dengan hidup yang kita ada.

‪#‎stetoskopdanpen‬

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *