Skip to content

Pengajaran daripada RM209

Hari Sabtu tempohari saya ke kedai telefon di Wisma Merdeka yang berdekatan dengan Suria Sabah. Kedai telefon ini terletak di bahagian ‘ground floor’.

Niat di hati mahu beli telefon untuk nombor kedua saya. Saya mahu menggunakan aplikasi whats app untuk nombor kedua.

Saya mahu telefon yang murah saja. Tidak mahu mahal-mahal memandangkan fungsinya untuk whats app saja.

Saya biasa guna Samsung dan Sony sebelum ini. Entah mengapa kali ini tergerak hati mahu mencuba jenama Lenovo.

Harganya RM199. Pelindung skrin yang berharga RM10 tidak dapat diberikan percuma kerana telefon ini sudah berharga murah.

Daripada awal saya sudah menyatakan tujuan saya membeli telefon ini untuk penggunaan whats app. Gadis jurujual menyatakan whats app boleh digunakan dalam telefon ini.

Saya meminta pekedai memuat turun whats app bagi memastikan telefon ini benar-benar boleh digunakan untuk whats app. Dia meminta saya membayar harga telefon terlebih dahulu.

Di situlah kesilapan saya yang pertama.

Satu jam lebih saya menunggu dia memuat turun aplikasi whats app. Tetapi masih tidak siap-siap. Dia beralasan ‘line internet’ lambat.

Dia juga menyuruh saya membeli ‘SD card’ sebagai tambahan memori supaya mudah untuk saya menggunakan aplikasi whats app kelak. Mudah untuk simpan semua gambar dan video yang dihantar orang. Saya katakan padanya saya tidak mahu membeli kad memori. Whats app itu hanya untuk kegunaan mesej dan bukannya untuk simpan video atau gambar.

Gadis jurujual itu pula menyuruh saya menukar telefon lain dan menambah duit, membuatkan saya semakin tidak selesa. Gaya percakapan mereka juga sudah berlainan. Telefon lain yang disyorkan untuk saya tukar daripada jenama yang tidak pernah saya dengar dan saya memang tidak mahukannya.

Saya katakan padanya biar saya muat turun di rumah saja. Bagaimana kalau saya gagal melakukannya, saya mahu wang saya dikembalikan dan memulangkan telefon itu.

Tidak boleh katanya. Sebab saya sudah membuat pembayaran.

Si lelaki menyalahkan saya yang dikatakannya tidak faham. Dia kata sepatutnya saya membeli SD card seperti yang disarankannya. Kalau tidak, penggunaan whats app akan bermasalah.

Muat turun aplikasi pun belum berjaya, sudah mahu saya beli SD card.

Apa yang saya tidak faham. Tujuan saya jelas. Dari awal lagi saya sudah nyatakan dengan terus-terang tujuan saya beli telefon ini. Saya hanya mahu gunakan whats app untuk telefon ini. Titik. Apa yang tidak jelasnya dengan satu objektif yang telah saya bentangkan itu.

Ayatnya lagi yang membuatkan saya semakin panas telinga, “You beli handphone murah, janganlah demand itu ini.”

Wah, ini sudah lebih.

Apa yang ‘demand’? Saya tidak nampak di mana saya mahukan lebih. Saya hanya mahu whats app boleh digunakan. Itu saja. Kalau itu tidak dapat ditunaikan, tiada gunanya saya membeli telefon di kedai ini.

Katanya lagi sebelum saya pulang, jangan salahkan dia kalau saya gagal memuat turun aplikasi whats app ini nanti. Bukan salah mereka. Mereka hanya menjual telefon. Pembayaran tidak boleh dipulangkan kerana saya sudah bersetuju membeli dan membuat pembayaran.

Saya pulang dengan hati yang mendidih. Tidak puas hati.

Apa yang saya dapat pelajari daripada peristiwa ini?

Memang banyak.

Mahal juga RM209 ini.

1. Buat ulangkaji sebelum membeli sesuatu

Saya mengaku silap saya kerana tidak membuat kajian telefon mana yang saya mahu beli sebelum pergi membeli. Dalam fikiran saya, sekarang ini semua telefon sudah canggih. Setakat whats app dan wifi, pasti kebanyakan telefon ada.

Seharusnya saya tidak boleh bergantung harap dengan pekedai untuk memilih barang yang saya inginkan.

2. Beli daripada kedai yang betul

Sebelum ini bukan tidak pernah saya membeli daripada kedai telefon biasa-biasa semasa di KL dan Johor. Cuma sejak kebelakangan ini saya membeli daripada ‘the authorize dealer’.

Contohnya kalau mahu beli telefon Samsung, saya memang pergi ke kedai yang tertera ‘SAMSUNG’ dan menjual telefon jenis Samsung. Kedai yang tidak menjual telefon jenama lain selain Samsung.

Sudah terkena pengalaman seperti ini, memang jawabnya saya akan pergi ke ‘the authorize dealer’ semula.

Konon-konon mahu jimat duit pada awalnya dengan pergi ke kedai mereka, namun sangkaan saya meleset.

3. Ada penjual yang hanya mahukan duit anda saja

Bukan semua peniaga seperti ini tetapi dalam kes saya, mereka bersikap begini. Mereka hanya melayan saya dengan baik sebelum saya membuat pembayaran. Sebaik saja duit bertukar tangan, sikap sebenar mereka terserlah.

Melayan pelanggan dengan acuh tak acuh.

Tidak menyelesaikan masalah saya yang inginkan whats app sebaliknya menyuruh saya mengeluarkan tambahan duit untuk membeli perkara yang tidak perlu seperti SD card dan menukar telefon lain yang lebih mahal.

Sepatutnya mereka berterus-terang dari awal bahawa SD card diperlukan untuk penggunaan whats app atau telefon ini mungkin tidak boleh digunakan untuk whats app.

4. Menyalahkan pelanggan daripada bersikap menolong

Saya sudah membeli barang di kedai mereka. Pada pendapat saya mereka sepatutnya memberikan apa yang saya mahukan. Sebaliknya kesalahan diletakkan kepada saya dengan alasan saya tidak faham apa yang mereka katakan.

Inikah sikap seorang peniaga yang budiman?

Jika anda meniaga, jangan amalkan sikap sebegini. Membuatkan pelanggan benci dan tidak akan berkunjung ke kedai anda lagi.

5. Membeli barangan murah tidak bermakna pelanggan tidak mempunyai hak

Membeli telefon berharga RM199 dikatakan murah dan saya tidak berhak meminta itu ini. Ini memang tidak sopan.

Bukan mahal atau murah ukurannya.

Pelanggan datang ke kedai kerana ada barangan yang mahu dibeli. Kalau anda mahu mengamalkan ‘double standard’ dalam melayan pelanggan yang membeli barangan murah atau mahal, lebih baik berniaga barangan yang sama harga saja. Supaya anda tidak memberi layanan yang berlainan kepada pelanggan yang membeli barang dengan harga berlainan.

Jadi, apakah yang harus saya lakukan?

Kalau ikutkan syaitan yang menghasut, saya mahu datang semula ke kedainya dan menghempaskan telefon hingga berkecai di depan mata mereka. Tetapi buat apa mahu ikutkan hasutan syaitan.

Saya sudah tawar hati untuk ke kedai mereka semula kerana sudah ditegaskan bahawa pemulangan duit adalah mustahil.

Saya sudah bertanya-tanya dengan pakcik Google bagaimana mahu menyelesaikan muat turun aplikasi whats app yang masih tidak berjaya tetapi masih buntu.

Paling akhir, mungkin saya akan membeli telefon lain dan kali ini saya akan beli daripada kedai yang betul. Biar poket sakit kerana terpaksa mengeluarkan duit lagi daripada berhadapan dengan peniaga yang hanya rakus dengan duit pelanggan.

Saya tidak mahu bersua dengan peniaga yang tidak tahu adab berniaga.

Anggaplah ini pengajaran mahal untuk saya. Nilainya RM209.

 

Published inLain-lain

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *