Skip to content

Penat

Pernah tak kawan-kawan rasa penat dan tak mahu buat apa-apa? Mahu rehat saja.

Itulah saya pada hari ini.

Ini adalah catatan merapu hujung minggu. Anda memiliki risiko membuang masa jika membaca catatan ini. Kalau mahu baca juga, dipersilakan. Jangan marah kalau tak dapat apa-apa daripada pembacaan tulisan ini.

Panjang pula intro saya.

Selesai OSCC Symposium 2019 yang berlangsung selama dua hari, saya ke Semporna untuk trip menyelam bersama rakan-rakan. Trip menyelam lima hari empat malam benar-benar menyeronokkan. Maklumlah, buat aktiviti yang kita suka. Pastilah kita gembira dan terhibur.

Namun letih juga selepas selesai trip menyelam. Walaupun makan tidur cukup di pulau, saya berasa tenaga saya disedut habis. Perjalanan pulang ke Kota Kinabalu, terasa lesu tubuh dan minda.

Semasa selaman terakhir, saya masuk ke air dengan agak ganas sedikit. Jatuhan yang kuat melalui back roll entry. Kepala dan leher terasa sakit sebaik saja terhempas ke dalam air.

Pulang ke Kota Kinabalu, saya tidur di rumah satu malam sebelum bertolak ke Kuala Penyu keesokan harinya. Bukan saya yang memandu tapi tetap terkesan dengan perjalanan. Padahal saya tidur sepanjang perjalanan. Mungkin terlebih tidur juga.

Tiga hari kursus Trauma Life Support bersama tim Likas, kami buat sehabis baik. Malah salah seorang daripada MO saya membelikan durian untuk kami berpesta makan durian. Saya makan 7 ulas durian. Sakit kepala daripada trip menyelam belum baik betul-betul. Berterusan selepas makan durian. Kasihan durian dipersalahkan walaupun tak bersalah.

Semalam selamat sampai ke Kota Kinabalu semula. Malamnya, saya tak larat mahu memandu keluar mencari makanan. Tak kan nak makan durian saja, tak kenyang. Makan coklat pun tak kenyang. Di rumah, ada oat, serunding daging dan telur. Tak terasa nak makan telur. Nak makan benda lain yang mengenyangkan.

Apalagi, saya pun meneliti perkhidmatan penghantaran makanan yang ada di Kota Kinabalu. Mula-mula saya tengok Grab Food. Malangnya perkhidmatan makanan yang ditawarkan untuk ke rumah saya sangat terhad. Cuma boleh pesan dari McDonald, kedai jual air bubble tea, sebuah restoran mamak dan sebuah kafe.

Aplikasi kedua saya tengok Food Panda. Ada pilihan lebih sedikit daripada Grab Food. Penghantaran percuma lagi. Saya cuba pesan Bibimbap. Tak tahu kenapa tak berjaya buat pesanan. Hampa rasa hati. Sudahlah sedang kelaparan. Benar-benar lapar.

Aplikasi seterusnya MoreFun. Tak banyak pilihan juga untuk penghantaran ke rumah saya. Banyak aplikasi pun tak membantu.

Akhirnya saya tak boleh berfikir lagi. Saya buat pesanan daripada Pizza Hut saja. Piza dan ayam. Untuk menghilangkan lapar sambil menunggu pesanan, saya menghubungi seorang rakan dan berbual. Jadi tidaklah saya melayan fikiran mengenangkan saya sedang kelaparan. 30 minit selepas membuat pesanan, makanan sampai.

Bahagia betul makan. Kenyang. Alhamdulillah. Bolehlah tidur dengan senang hati.

Bangun pagi hari ini, saya masih letih. Tak tahu kenapa. Saya hanya berehat di rumah. Kerjanya baring dan tidur. Ketika tidur, rupanya telefon berdering. Saya tak perasan. Nombor hospital.

Saya oncall ke? Rasanya bukan. Letih namun saya percaya ingatan saya masih bagus. Saya tak oncall hujung minggu ini. Oncall saya akan bermula 8 Ogos. Bukan hari ini.

Apabila telefon berbunyi buat sekian kalinya, saya jawab. Saya katakan, saya tak oncall. Sila hubungi orang yang oncall. Selepas itu saya tidur semula.

Petang bangun kerana teman ajak keluar makan malam. Rasanya kalau dia tak ajak, saya terus bertapa dalam rumah saja. Pagi, selamat sarapan dengan oat dan serunding daging. Tengahari, makan telur dadar yang diletak keju dan bawang besar. Okay la, makan malam di luar pula. Teringin makan nasi.

Keluar ke Suria Sabah. Makan sushi bersama Ayin dan Kak Kuyah. Jarang-jarang jumpa Kak Kuyah walaupun bekerja satu hospital. Ayin pula, saya tak ingat bila kali terakhir kami bertemu.

Selain makan sushi, saya pesan ice blended green tea dan aiskrim matcha. Serbuk yang membalut aiskrim matcha itu pahit sedikit. Aiskrimnya sedap. Pejam mata saya menikmati aiskrim yang enak. Kehidupan ini bagus tatkala kita berpeluang menjamah makanan yang enak.

Sebelum pulang ke rumah, saya sempat singgah di Popular Book Store. Tersenyum melihat Projek Lavender di rak buku segmen Motivasi. Buku Dua Penulis ada dijual di sini.

Rupanya saya bukan robot. Saya manusia. Boleh merasai kepenatan.

Esok satu hari lagi untuk berehat. Entah apa yang saya penat sangat pun saya tak tahu.

Isnin pagi mahu ke Kuala Penyu lagi bagi melunaskan tugasan satu lagi kursus. Selepas itu saya duduk diam-diam di hospital. Penat juga ke sana sini tak henti. Biarlah saya bekerja di hospital saja. Sesekali keluar okay. Bila berturut-turut macam ini, rupanya tak mampu sangat. Padan muka diri sendiri. Waktu tetapkan jadual, bersemangat. Bila mengharunginya, semput nafas juga.

Merapu kan cerita ni? Kisah saya penat. Kalau menyesal baca dan terasa buang masa, saya sudah beri amaran awal-awal di atas tadi.

Kawan-kawan buat apa hujung minggu ini?

#fikiryatiyasmin

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *