Skip to content

Orang tua itu

Umurnya melepasi angka 70 tahun. Mata kanannya lebam kebiruan. Ada luka di dahi yang perlu dijahit. Pakcik S terkebil-kebil tidak menjawab apabila ditanya apa yang telah terjadi. Dia boleh mengangkat tangan dan menggerakkan kaki apabila disuruh berbuat demikian. Namun ada masanya dia seperti tidak faham dengan arahan yang diberikan.

Kata anaknya yang membawa dia ke hospital, Pakcik S terbaring di lantai ketika ditemui. Anaknya yang berada di bilik lain terdengar bunyi kuat seperti benda jatuh. Apabila masuk ke bilik ayahnya, lelaki tua itu sudah terdampar di atas lantai.

Tidak ada sesiapa yang nampak bagaimana Pakcik S terjatuh. Bagaimana dan mengapa dia boleh jatuh. Mungkin kakinya yang tidak kuat lagi.

Pengimejan otak (CT scan of the brain) yang dilakukan tidak menunjukkan apa-apa penemuan positif (perdarahan atau kesan strok).

Selepas semalaman di bawah pemerhatian di jabatan kecemasan, Pakcik S dibenarkan pulang.

Selang sehari, Pakcik S dibawa kembali ke hospital. Kata anaknya terjatuh lagi. Seperti cerita hari pertama, tiada siapa yang nampak bagaimana Pakcik S jatuh. Dan Pakcik S sendiri tidak dapat memberitahu apa yang telah berlaku.

Kali ini Pakcik S ditahan di wad. Tidak mahu membenarkan dia pulang kerana nampaknya ahli keluarga sendiri tidak dapat menjaga dia sebaik mungkin.

Adakah kecuaian anak-anak yang tidak menjaga Pakcik S dengan baik hingga menyebabkan dia jatuh berkali-kali?

Atau anak-anak terlalu sibuk hingga tiada siapa yang boleh memantau pergerakan pakcik S?

Mereka tidak cukup duit untuk mengupah orang menjaga Pakcik S ketika mereka sendiri sibuk bekerja?

Adakah lebih baik Pakcik S diletakkan di rumah orang-orang tua?

Saya tidak ada jawapannya.

Saya tidak dapat menghakimi anak-anak Pakcik S kerana saya tidak berada di tempat mereka dan saya tidak tahu apa masalah yang mereka hadapi.

Saya cuma kasihankan Pakcik S.

Ianya buat saya teringat kepada arwah nenek yang saya panggil nyai yang telah pergi beberapa tahun yang lalu.

Alhamdulillah nyai dijaga oleh anak-anak.

Ibu bapa saya sendiri, Alhamdulillah ada adik lelaki dan abang saya di kampung yang boleh menjaga mereka kerana saya bekerja jauh di sini.

Bukan semua orang tua bertuah untuk mendapat jagaan anak-anak.

Paling akhir saya dapat berita Pakcik S dibenarkan pulang selepas hampir tiga minggu berada di hospital. Namun masalah masih ada kerana tidak ada antara anaknya yang boleh membawa dia pulang ke rumah.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *