Skip to content

Niat yang baik tapi….

Semalam seorang pesakit datang kerana tangannya sakit dan bengkak setelah dihempap meja yang terjatuh ke atas tangannya. X-ray menunjukkan pergelangan tangannya patah dan tulangnya beralih sedikit daripada kedudukan asal.

Dalam kes seperti ini, kami akan melakukan CMR atau closed manual reduction. Maksudnya tulang pesakit akan dibetulkan kedudukannya tanpa melakukan pembedahan. Pesakit akan diberikan ubat sedatif dan penahan sakit ketika prosedur dijalankan.

Saya menerangkan kepada pesakit tentang pelan kami terhadapnya. Dua orang kawan pesakit ini yang berdiri di sebelahnya turut sama mendengar penerangan saya. Terangguk-angguk kepala mereka ketika saya bercakap.

“Kami akan tarik tangan encik untuk membetulkan kedudukan tulang.”

(Adakalanya saya rasa lebih mudah memberi penerangan dalam bahasa inggeris berkenaan perubatan kerana bila diterjemahkan dalam bahasa melayu kedengaran pelik bunyinya. Sukar untuk mencari terjemahan yang seratus-peratus tepat, sekurang-kurangnya itulah yang saya rasakan)

“Kami boleh tolong tarik tangan dia, doktor.” Kawan pesakit ini bersemangat ingin membantu.

Saya tercengang mendengar ayat beliau pada mulanya.

“Kami berdua ni, dia pun boleh tolong tarik.” Kawan pesakit ini bersungguh-sungguh menawarkan khidmatnya. Kawannya yang seorang lagi turut mengiyakan.

MO yang sedang mengisi borang kebenaran untuk prosedur sudah tergelak-gelak.

Oh, rupanya dia silap faham.

“Terima kasih encik, tapi kami yang akan buat prosedur ini. Tarik bukan sebarang tarik, ada cara untuk tarik dan betulkan.” Balas saya.

Lelaki itu tergelak sama. “Ya ke, doktor. Ingatkan main tarik saja.”

Saya tahu, lelaki ini berniat baik mahu menolong rakannya yang sakit. Tetapi niat saja tidak bermakna perbuatannya boleh diteruskan. Kerana dia tidak ada pengetahuan tentang perkara ini. Jika dia melakukannya, dikhuatiri memburukkan keadaan. Silap-silap tulang beralih terus dari kedudukan asal.

Niat yang baik untuk menulis buku atau menghasilkan karya sama ada artikel, ‘blog post’ tetapi kita kena tahu apa yang kita mahu tulis itu juga. Bagaimana kalau kita menulis maklumat yang salah. Apakah akibatnya jika kita menyebarkan perkara yang tidak benar?

Menjadi tanggungjawab seorang penulis untuk memastikan apa yang ditulisnya tepat. Contohnya kita menulis tentang skim pelaburan emas dan mengajak orang untuk menyertainya. Sedangkan sebenarnya skim pelaburan itu ialah skim cepat kaya. Bagaimana jika ada orang yang terjebak dengan skim cepat kaya itu setelah membaca artikel yang kita tulis?

Menulis bukan perkara suka-suka. Bukan boleh main redah atau asal boleh saja. Penulis bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya.

Lagi pun setiap perkara yang kita tulis akan menjadi saham di alam sana kelak. Sudah tentu kita mahu ianya menjadi saham yang baik, memudahkan laluan kita ke syurga-Nya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *