Skip to content

Mesyuarat yang menyedihkan

 

Hari ini saya betul-betul sedih. Tak sangka menghadiri mesyuarat pun boleh membuatkan saya bermurung.

Mesyuarat membincangkan kes pesakit di bawah umur. Kena rogol, kena liwat. Kena dera.

Mendengar kes demi kes yang dibentangkan membuatkan saya terasa sesak nafas dan sakit dada.

Memanglah selama ini saya sudah biasa berdepan dengan kes-kes sedemikian rupa di jabatan kecemasan. Tetapi mendengarkan betul-betul apa yang terjadi, susulan selepas itu cukup untuk membuatkan saya rasa mahu keluar serta-merta dari bilk mesyuarat.

Selama ini saya hidup dalam gelembung keselesaan. Alhamdulillah, tidak ada masalah yang terlalu besar setakat ini. Mungkin besar saya rasakan pada saat saya mengalaminya, tapi bila saya bandingkan dengan pengalaman pesakit-pesakit ini, masalah saya hanya sebesar hama.

Kisah-kisah mereka bukan drama di kaca televisyen, bukan filem di panggung. Kisah yang kita sangka hanya berlaku dalam novel. Tetapi sebenarnya itu adalah realiti kehidupan. Kisah sebenar yang terjadi di luar sana. Kisah yang menimpa segolongan insan. Insan yang belum cukup umur untuk mengundi. Kanak-kanak sekecil umur 5 tahun.

Kisah yang cukup untuk membuat saya menangis dalam hati. Rasa mahu lepas geram dengan menumbuk meja di bilik mesyuarat.

Dirogol bertahun-tahun. Bila diadukan pada ibu, tidak dipedulikan. Ibu bimbang kerana si ayah merupakan tunggak keluarga. Jika ayah ditangkap, siapa yang mahu menyara keluarga?

Maka ibu pejam mata dengan nasib anak.

Dihantar ke institusi pendidikan dengan harapan untuk disekolahkan menjadi orang. Namun guru-guru menyembunyikan rahsia anak diliwat oleh teman sekolah.

Guru-guru yang diharapkan menjaga amanah ibu bapa tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Dirogol oleh guru, insan yang mencurahkan ilmu kepadanya. Satu pengkhianatan yang tidak dapat dijelaskan tahap kezalimannya.

Orang dewasa yang sepatutnya melindungi mereka tidak mempedulikan mereka. Malah buat pekak telinga, pura-pura tidak nampak apa yang berlaku.

Maka, apakah harapan yang anak-anak ini ada?

Di sinilah peranan kita dalam memberi sinar harapan kepada anak-anak malang. Parut luka yang membekas akan kekal seumur hidup. Itu tidak dapat kita kikis daripada lipatan ingatan mereka. Namun kita boleh menyediakan peluang untuk mereka hidup bahagia semula seperti manusia lain di muka bumi ini.

Siapa kita?

Doktor, petugas hospital, pekerja sosial hospital, petugas jabatan kebajikan masyarakat, pihak polis dan petugas bahagian perundangan, kehakiman.

Andainya kita tidak mampu melindungi mereka, bersediakah kita menjawab di sana apabila disoal oleh-Nya?

P.S: Kemurungan saya dikurangkan sedikit oleh lemang segera dicicah dengan sardin yang disediakan oleh rakan saya Fieza Afid. Terima kasih kerana membantu saya yang lapar dan sedih.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *