Skip to content

Mengatasi ketakutan

Pertama kali mahu melakukan parasailing, perasaan bercampur-baur. Takut, ngeri, gayat, cuak. Semua ada.

Lebih-lebih lagi saya takutkan ketinggian. Saya gayat apabila berada di tempat tinggi.
Melakukan parasailing bermakna saya akan berada di tempat tinggi.

Tetapi selagi tidak mencuba, hati saya tertanya-tanya bagaimana perasaannya. Saya lihat orang melakukannya dan saya berfikir pasti saya boleh melakukannya juga.

I must try it.

Saya berkata kepada diri sendiri.

Bersama rakan serumah, saya mencubanya. Didorong oleh seorang lagi rakan yang pernah menempuhi pengalaman ini. Dia memberi galakan dan kata-kata untuk menenangkan saya.

Akhirnya saya berjaya tergantung di atas.

Perasaan itu bercampur-baur lagi.

Pada awalnya, tidak dinafikan saya ketakutan apabila kami naik semakin tinggi dan menjauhi bot. Terjerit-jerit ketakutan hingga tekak sakit. Selepas itu tidak larat lagi hendak menjerit. Terima sahaja apa yang berlaku seterusnya.

Apabila ketakutan beransur hilang, keseronokan mula menjelma. Saya mula menikmati saat kami berada di atas.

Memandang laut yang terbentang luas, keindahan alam ciptaan Tuhan membuatkan saya lebih bersyukur akan segala apa yang dikurniakan kepada diri ini.

Sewaktu menjejakkan kaki ke bot setelah tamat masa yang diperuntukkan, saya mengeluh.

Mengapa sekejap sangat masa parasailing kami?

Saya sudah menyukai aktiviti ini.

Kali kedua saya melakukannya. Saya sudah bersedia. Saya tahu apa yang hendak dijangkakan.

Perasaan lebih tenang. Tidak takut lagi. Saya benar-benar menikmatinya. Malah saya berangan-angan untuk membaca buku atau menulis ketika menaiki parasailing buat kali ketiga. Tinggi sungguh angan-angan saya. smile emoticon

Apa-apa juga perkara yang kita tidak ketahui memang nampak menakutkan dari luaran. Tetapi kita dapat menempuhinya dengan menyiapkan fikiran kita dan dorongan daripada orang terdekat.

Setelah kita melakukannya, barulah kita ketahui bahawa perkara itu tidak sesukar atau menakutkan seperti yang kita jangkakan.

Perkara ini memang dirasai dalam laluan kerjaya sebagai seorang doktor.

Contoh mudah ialah memasang branula. Ketika masih bergelar mahasiswa fakulti perubatan, memasang branula seperti satu perkara besar bagi saya. Saya bimbang saya menyakitkan pesakit. Saya takut saya tak dapat masukkan branula ke tempat yang betul. Saya takut… banyak benda yang saya takut.

Tapi apabila menjalani housemanship, memasang branula ialah satu skil yang penting untuk memastikan pesakit mendapat ubat atau drip yang diperlukan. Berbelas atau berpuluh kali sehari memasang branula menyebabkan ianya menjadi rutin. Saya sudah tidak takut untuk membuatnya kerana sudah biasa melakukannya.

Salah satu cara mengatasi ketakutan ialah dengan melakukannya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *