Skip to content

Mengapa dera mereka

 

Saya sayangkan Miyul. Kerana dia seorang anak saudara yang saya ada setakat ini. Semua orang sayangkan Miyul. Mak dan ayah saya sayangkan Miyul. Pak Long dan Pak Usu Miyul pun sayangkan dia.

Melihat Miyul, saya tidak dapat berfikir bagaimana orang tergamak mendera kanak-kanak.

Di mana hilang akal waras yang dikurniakan Tuhan? Ke mana perginya kasih kepada anak-anak?

Kalau pun bukan anak sendiri tapi tetap itu ialah kanak-kanak.

I
Kes dera yang berlaku ke atas kanak-kanak berumur lima tahun di Kelantan baru-baru ini menggemparkan seluruh negara.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seksanya Zara menahan kesakitan tulang patah.

Bukan satu tulang tetapi berbelas tulang. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Alangkan patah satu tulang pun orang dewasa boleh meraung menjerit kesakitan, menangis mengongoi.

Salah seorang kawan yang pernah patah tulang menyatakan bagaimana perasaannya ketika itu. Tulang tangannya patah akibat kemalangan.

Kata kawan saya, sakitnya tidak dapat dia ceritakan. Seperti berjalan dalam satu lorong gelap yang tidak nampak hujungnya, tidak ada cahaya yang kelihatan. Sakit itu sentiasa ada. Dia terpaksa meminta ubat tahan sakit yang kuat kerana tidak dapat menahan sakit.

Bagaimana Zara menderita menahan kesakitan berhari-hari sehingga patah tulang sembuh sendiri. Tiada ubat. Tiada kasih ibu dan ayah. Terbiar menangis merintih kesakitan seorang diri. Tuhan saja yang tahu.

II
Minggu lepas dua orang adik-beradik dibawa oleh pekerja jabatan kebajikan masyarakat (JKM) ke tempat saya bekerja.

Dua orang adik-beradik yang comel, abangnya tujuh tahun manakala adiknya berusia lima tahun.

Perihal mereka didera terbongkar apabila si ibu datang ke JKM untuk meminta bantuan kewangan. Staf di JKM menyedari ada kesan lebam dan luka-luka di badan kedua-dua kanak-kanak itu.

Pada mulanya si ibu enggan bercerita. Setelah dipujuk barulah dia berterus-terang bahawa anaknya dipukul oleh teman lelakinya. Dia sendiri dimarahi dengan teruk tetapi tidak pernah dipukul. Dia tidak berani membuat laporan kepada polis kerana lelaki itu panas baran orangnya.

Anak-anak dipukul di depan mata tetapi dia tidak berani berbuat apa-apa untuk menyelamatkan anaknya.

Saya tidak dapat menghadam maklumat itu. Apakah dia mahu menunggu sehingga anaknya menjadi mayat baru dia hendak menyesal.

Tetapi saya bukan berada di tempatnya, jadi saya tidak tahu apa yang dirasakannya, apa yang ditakutinya, apa yang difikirkannya.

Cuma saya terfikir, adakah ketakutannya kepada lelaki itu melebihi kasih kepada anak-anak yang menjadi mangsa belasahan.

Si abang menyatakan lelaki itu memukul dia dan adiknya. Si adik disepak seperti bola di depan mata si abang. Apalah kudrat si abang yang yang berumur tujuh tahun untuk menahan si pelaku daripada membelasah adiknya sedangkan dia sendiri dipukul. Si ibu pula tidak berbuat apa-apa. Jadi patung cendana menonton anak-anak dipukul.

Hmm…

Mengapa di dunia ada manusia seperti ini?

Manusia yang hilang rasa kasih kepada kanak-kanak.

Adakah mereka tidak mendapat kasih sayang yang cukup semasa zaman kanak-kanak mereka. Atau mereka turut didera sejak kecil. Sehingga mereka menjadi pendera apabila dewasa.

Orang dewasa sewajarnya melindungi kanak-kanak. Bukannya melepaskan geram pada kanak-kanak atau memukul mereka hingga patah riuk seperti yang terjadi pada Zara.

Apakah peranan kita dalam menangani kes-kes dera?

Saya doakan adik Zara dan kanak-kanak mangsa dera lain mendapat pembelaan yang adil dan diberi sokongan, kekuatan semangat dan kasih sayang dari keluarga dan orang sekeliling dalam meneruskan kehidupan mereka.

Bukan parut fizikal saja yang kekal, luka di hati lebih mendalam kesannya.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *