Skip to content

Menang

Pertandingan apa yang tuan puan pernah menang?
Pertandingan yang pernah dimenangi dan memberi kesan dalam hidup?

Semasa zaman sekolah, banyak betul pertandingan yang boleh disertai. Kuiz matematik, pertandingan berpantun, nyanyian nasyid, pertandingan menulis puisi, dikir barat, pertandingan kawad badan beruniform.
Dua pertandingan yang saya ingat sehingga kini iaitu pertandingan menulis cerpen dan pertandingan kawad.

Salah satu pertandingan yang saya pernah menangi iaitu pertandingan menulis cerpen Formula Malaysia. Bukan hadiah utama, saya berjaya memenangi hadiah saguhati. Itu pun sudah cukup untuk membuatkan saya teruja. Kerana bukan mudah untuk menang. Penyertaan daripada seluruh negara. Saya tak ingat berapa hadiah saguhati yang disediakan pada ketika itu. Mungkin untuk 100 orang pemenang.

Penulis kegemaran saya iaitu Hizari Othman memenangi hadiah utama kategori cerpen.

Saya sentiasa cuba menyertai pertandingan menulis cerpen yang diadakan. Tapi jarang menang. Sesekali menang, seperti dunia ini kita yang punya. Memenangi pertandingan menulis merupakan salah satu perkara yang menggembirakan saya.

Satu lagi pertandingan menulis cerpen yang saya menang iaitu pertandingan menulis cerpen anjuran akhbar Minda Pelajar. Mereka yang bersekolah semasa zaman saya pasti mengenali akhbar ini. Akhbar khas untuk pelajar sekolah menengah.
Saya rajin menghantar cerpen untuk disiarkan di akhbar Minda Pelajar. Seingat saya ada dua cerpen saya tersiar.

Saya tahu saya menang pun secara tak sengaja. Ketika itu saya membaca akhbar harian. Tiba-tiba ternampak nama saya dalam rencana yang tersiar. Rencana mengenai pertandingan menulis cerpen Minda Pelajar.

“Eh, eh, macam nama aku.” Terdetik dalam hati saya bila membaca nama pemenang. Hadiah saguhati. Namun seperti memenangi hadiah pertama perasaan gembira yang menyelubungi diri.
Wang kemenangan sebanyak RM500 dikira lumayan untuk pelajar sekolah menengah zaman saya. Duit hasil kemenangan itu saya gunakan untuk beli kamera. Kamera itu entah mana sekarang.

Itulah dua hadiah sanguhati yang saya menang dalam pertandingan menulis.
Hadiah yang saya impikan untuk menang tapi sampai sudah tak dapat iaitu pertandingan menulis cerpen yang dianjurkan oleh majalah Dewan Siswa. Saya kecewa. Cerpen-cerpen yang dihantar tak terpilih untuk siaran pun. Mungkin usaha tak betul-betul kuat. Mungkin karya yang saya hantar tak menarik langsung. Tak ada rezeki untuk menang.
Pertandingan kawad yang pernah saya sertai dan menang bersama rakan-rakan iaitu kawad Kadet Bomba. Dahulu zaman sekolah menengah, saya aktif dengan Kadet Bomba.

Mengapa sertai Kadet Bomba? Sebab abang bomba handsome? Eh, tidaklah.
Saya rasakan Kadet Bomba satu badan beruniform yang unik dan lain daripada yang lain. Menyertai Persatuan Puteri Islam atau Pengakap seperti sudah biasa. Selalu kita dengar Pengakap atau Bulan Sabit Merah atau Puteri Islam. Kadet Bomba jarang kedengaran semasa zaman saya.

Belajar pelbagai perkara semasa jadi ahli Kadet Bomba. Siap hafal lagu bomba.

Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan kawad. Tak kira panas terik. Tak hiraukan kakak-kakak Badar yang cuba menasihati kami untuk berundur daripada kelab ini.

Kami berjaya menang. Tempat keberapa saya tak ingat. Namun terharu kerana usaha penat lelah dan kegigihan kami terbalas. Rasa berbaloi. Tak sangka boleh menang juga. Formasi kawad ketika itu saya catatkan dalam kertas dan masih ada dalam simpanan hingga sekarang.

Setiap kemenangan yang dicapai dalam hidup memberi makna dan membuat kami percaya, usaha gigih akan menerima balasan setimpal. Bagaimana jika kalah? Adakah ini bermakna kita teruk? Tak semestinya. Kita kalah kerana ada orang yang lebih baik daripada kita. Kekalahan akan menjadi pemicu semangat untuk kita berusaha lebih kuat pada masa akan datang.

Galakkan anak-anak kita menyertai pertandingan kerana ini boleh memupuk sifat rajin berusaha dan bekerja keras dalam diri mereka. Banyak sisi positif daripada menyertai pertandingan. Sekurang-kurangnya itulah yang saya rasakan.

Published inUncategorized

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *