Skip to content

Melihat hujan

Siapa suka lihat hujan?

Saya suka lihat hujan. Hobi saya melihat hujan.

Bila saya katakan saya suka lihat hujan, kawan serumah kata hobi saya unik. Dia tidak pernah berjumpa dengan orang yang mempunyai hobi melihat hujan.

Entahlah… memang saya suka lihat hujan.

Titisan hujan mendamaikan. Dinginnya hujan menyejukkan. Bunyi rintik air hujan yang turun mendamaikan.

Air hujan yang membasahi bumi membersihkan kekotoran di muka bumi. Memberi kesegaran kepada tumbuh-tumbuhan yang melata.

Hujan itu rahmat. Rahmat dari Tuhan.

Hujan membasuh kelukaan di hati.

Sebagaimana hujan yang akan berhenti juga pada akhirnya. Begitu juga dengan luka di hati dan pedih dalam jiwa.

Sedalam mana pedih yang dirasakan, akan berhenti juga pada satu masa nanti. Cuma bilakah masanya, tiada siapa yang tahu. Kelukaan itu akan tawar juga. Cuma parut luka yang tertinggal.

Ketika kecil-kecil dahulu, kita suka bermain air hujan. Kita suka membasahkan diri dalam hujan. Sehingga ditegur dan dimarahi orang tua, kita masih degil dan tidak serik. Seronok bermandikan hujan. Riangnya zaman kanak-kanak di bawah curahan hujan tidak dapat digambarkan.

Ironinya apabila telah dewasa, kita mengeluh apabila hari hujan.

Alamak, hujan pulak!

Jem la jalan.

Malasnya nak gerak dalam hujan.

Basahlah baju dan kasut kalau kena air hujan. Lecehlah.

Satu ketika dahulu, kita sangat suka dengan air hujan. Namun meningkat dewasa, hujan seolah-olah musuh utama. Mengapa?

Pelik jika difikirkan.

Perkara yang kita suka semasa zaman kanak-kanak bertukar menjadi perkara yang boleh membuatkan kita merungut dan mengeluh.

Sedangkan hujan tetap setia turun, tak kira sama ada kita menyukai atau membenci hujan.

Saya melihat hujan. Tidak kira di mana saya berada, sama ada di Likas, di Kuala Lumpur atau di kampung halaman di Johor.

Saya boleh duduk terpaku melihat hujan atau berdiri tercegat di tepi tingkap memerhatikan titisan hujan.

Usah ditanya lagi mengapa.

Kerana bagi saya hujan itu mendamaikan.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *