Skip to content

Melihat dalam diri pelajar

 

Hari ini bertandang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru (SMKA JB) bersama Norsa’adah Ahmad.

Selepas Kolej Tunku Ampuan Mariam ditutup, pelajar-pelajar dipindahkan ke SMKA JB. Saya tak sempat menjejakkan kaki ke SMKA JB kerana perpindahan berlaku beberapa tahun selepas saya keluar dari KTAM.

Kiranya SMKA JB adalah kesinambungan KTAM.

Menghampiri dewan terlihat pelajar berpusu-pusu masuk ke dewan. Anggarannya dalam 300 orang pelajar. Jumlah pelajar perempuan melebihi pelajar lelaki.

Majlis diadakan berbentuk forum. Seorang moderator bertanya soalan dan kami berdua menjawab soalan yang diberikan. Nabila yang diamanahkan sebagai moderator sangat petah berkata-kata.

“Budak ni lagi pandai bercakap daripada kita, Sa’adah.” Saya berbisik kepada Sa’adah.

Saya percaya Nabila akan menjadi seorang speaker yang berkaliber pada masa depan kelak.

Soalan bersilih-ganti diajukan kepada kami berdua. Soalan mengenai bidang kerjaya perubatan, saya yang menjawab. Manakala bahagian perakaunan, Sa’adah yang menyambutnya. Bahagian penulisan dan motivasi, kami bergilir menjawab.

Antara yang saya tekankan:
– Jadi doktor kerana mahu jadi doktor, bukan kerana rasa glamour dipanggil doktor atau mengejar gaji tinggi.
– Tak semestinya jadi doktor, jadilah apa saja asalkan jadi orang.

Ada yang berani bertanya soalan terus kepada kami. Tetapi lebih ramai yang memilih untuk menulis soalan di atas kertas. Berpinar biji mata melihat timbunan kertas soalan yang diberikan. Ada 39 soalan untuk kami jawab.

Sudah tentu kami tidak cukup masa untuk menjawab semua soalan yang diberikan. Pada mereka yang tidak mendapat jawapan, kami minta ajukan melalui emel.

Antara soalannya, ‘Ahli panel tak kerja ke hari ni?’.

Hmm… ada juga soalan macam ni.

Seorang pelajar lelaki yang berminat menjadi doktor tidak jemu mengajukan soalan. Salah satu soalannya, “Benarkah doktor susah hendak membina keluarga?”

Fuh, mencabar juga soalannya.

Walaupun terlihat beberapa orang pelajar hanyut ke alam mimpi setelah menghampiri masa dua jam setengah tetapi beratus pelajar yang lain setia mendengar setiap yang kami katakan. Muka penuh perasaan teruja dan memberi tindak balas yang baik apabila disoal.

Kami berdua berpuas hati dengan sesi ini. Malah Cikgu Rohani menyatakan sekolah mahu menjemput saya untuk sesi bengkel penulisan pula selepas ini. Dia bertanya bila saya ada masa untuk datang lagi.

Semoga apa yang disampaikan tidak sia-sia. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Harapan kami berdua, pelajar mendapat gambaran dan idea tentang kerjaya doktor dan akauntan serta bidang penulisan.

Kami akan ke sekolah lain pula selepas ini.

Jika ada antara cikgu-cikgu sekolah atau pensyarah universiti berminat menjemput kami boleh menghubungi saya atau Norsa’adah Ahmad.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *