Skip to content

Masih relevankah buku-buku DBP

Saya membesar dengan buku-buku DBP.

Ketika di bangku sekolah, bahan-bahan bacaan saya kebanyakannya terdiri daripada buku terbitan DBP. Buku dari DBP juga yang menyebabkan saya berangan-angan menjadi Sasterawan Negara. Begitu tinggi impian pada waktu dahulu.

Ketika berada di Pesta Buku One Borneo Sabtu lalu, saya melihat buku-buku yang dijual di salah sebuah gerai. Buku-buku DBP!

Dahulu saya suka membaca buku-buku yang dikeluarkan DBP sama ada buku umum mahupun buku cerita. Lenggok bahasa yang digunakan bersahaja walaupun penceritaannya terperinci. Membaca cerita dalam buku DBP saya boleh menggambarkan apa yang berlaku. Tidak perlu pening berfikir lebih-lebih.

Paling saya minat sudah tentunya buku yang memaparkan proses penulisan atau penghasilan karya bagi seseorang penulis. Dengan membaca proses penulisan pengarang lain, saya boleh belajar bagaimana penulis-penulis mendapat idea untuk penghasilan karya mereka. Bagaimana mereka berkarya, di mana dan bila masanya. Apakah masalah yang mengganggu proses kreatif mereka dan cara penyelesaiannya.

Saya gembira apabila menemui Proses Kreatif: Satu Pengalaman Rohani oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Tanpa berfikir panjang, saya membeli buku ini.

Daripada namanya dapat diteka apakah isi kandungan buku ini. Bagaimana Sasterawan Negara kita ini mendapat idea untuk menghasilkan sesebuah buku dan cerpen serta proses pengkaryaannya.

Salah satu buku beliau iaitu Darah Pembalasan ditulis selepas beliau ternampak tunggul nipah sedang hanyut di Sungai Jambuair. Pemandangan itu mengganggu fikirannya dan tidak boleh dilupakan. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menulis berdasarkan apa yang dilihatnya. Buku itu berjaya memenangi sayembara menulis buku sejarah yang dibuka penyertaannya kepada penduduk Aceh dan Indonesia.

Lihatlah bagaimana beliau berkarya dengan hanya melihat tunggul nipah.

Bagaimana dengan anda yang suka menulis dan mahu menjadi penulis.

Katakan anda melihat sebuah pokok di tepi jalan, bolehkah anda menulis sebuah buku dengan hanya memandang pokok itu.

Jika ditanya kepada saya, masih relevankah buku-buku DBP. Jawapan saya ialah ya.

Buku-buku DBP tetap relevan. Cuma mungkin ramai tidak mengetahui kewujudan buku-buku yang bagus daripada DBP. Perlu lebih hebahan seperti penerbit lain. Contohnya ITBM yang menawarkan buku-buku umum sastera yang saya suka.

Membaca buku-buku DBP seperti saya kembali kepada zaman sekolah dahulu. Nostalgia.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *