Skip to content

Marathon buku

Seronok betul cuti tempohari dapat membaca sebanyak 14 buah buku. Rasa berbaloi cuti.

Sudah lama tidak baca buku yang banyak dalam tempoh yang singkat.

Setiap buku yang saya baca memberi idea untuk penulisan buku seterusnya.

Saya belajar bagaimana untuk menulis isi yang boleh menarik minat pembaca. Apa yang membuatkan seorang pembeli buku sanggup mengeluarkan duit daripada poketnya untuk membeli buku tersebut.

1. Urban

Cerpen berdasarkan bandar-bandar besar. Ada antara cerita yang ditulis yang saya tidak faham. Tetapi tidak mengapa. Ada masanya kita tidak faham mengapa ianya terjadi.

2. Inspirasi Kehidupan Rasulullah

Melihat dari sisi bagaimana Baginda menjaga pemakanan dan minumannya. Usah kita mencela makanan kalau tidak sedap, diamkan saja.

3. Menjejak Cinta di Bumi Tuhan ( Wardah Abdullah)

Pelbagai rasa menyerbu ketika membaca buku ini. Saya tahu bukan mudah untuk menulisnya. Mencari hikmah di sebalik dugaan yang menimpa. Mengembara untuk mencari diri.

4. Advantura Pulang ke Malaya

Kalau ada impian, tunaikan. Jangan simpan hingga akhir hayat. Kita hidup hanya sekali di dunia ini. Apa saja kau percaya kau boleh lakukan selagi tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang, teruskan.

Penulis membangkitkan semangat pembaca untuk menggapai impian sendiri yang selama ini terpendam dalam hati.

5. Aku, Dia & Rezeki ( Abang Long)

Rezeki ada di mana-mana. Usah sempitkan maksud rezeki itu sendiri. Kerana rezeki bukan sekadar duit, ianya juga bermakna ketenangan hati, masa, keluarga yang bahagia dan berjumpa dengan insan-insan yang hebat.

6. Hikayat Calaqisya

Bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan tetapi bukannya mustahil.

Penulis menceritakan bagaimana dia bertatih dari awal dalam perniagaan yang dijalankannya, cabaran yang menghimpit dan apa yang membuatkan dia terus bertahan.

7. Anekdot Seorang Cikgu ( Sofuan Saadon)

Ini boleh membuatkan pembaca tergelak pada setiap cerita. Saya cuma ada satu komen untuk buku ini. Terlalu nipis, tidak puas membacanya.

8. Enam Puluh Liter ( Khairul Hakimin Muhammad)

Perjalanan 11 orang sahabat dalam menjayakan misinya. Halangan pasti ada. tetapi bagaimana untuk mengatasi halangan itu yang lebih penting. Dan apakah pelajaran daripada pengembaraan itu.

9. Budak Aspura

Kisah pelajar asrama yang dekat di hati saya. Walaupun buku ini bukan mengenai asrama puteri tetapi bagi saya kehidupan di asrama di mana-mana pahit manisnya lebih kurang sama.

10. Saya Budak Baru Belajar

Kartun yang terdapat dalam buku ini membuatkan saya tersenyum sendiri. Kisah yang dicoretkan juga menarik.

11. Saya Budak Baru Belajar 2

Pembelajaran dalam hidup bukan sekadar di sekolah. Di asrama kita belajar tentang erti kehidupan.

12. Ulam Kasih Sambal Cinta ( Nor Zailina)

Novel yang membawakan chef sebagai watak utama. Saya tidak ada kawan baik yang bekerja sebagai chef. Maka saya memang tidak arif dengan kerjaya ini.

Membaca novel ini membuatkan saya sedar setiap pekerjaan itu berat tanggungjawabnya.

Bekerja sebagai chef, harus bekerja keras menyediakan masakan untuk ratusan atau ribuan orang, malah bekerja lebih masa sekiranya ada majlis tertentu.

Novel Ini memberi dorongan untuk saya menyiapkan novel yang mendedahkan kerjaya doktor kecemasan (yang masih terbengkalai hingga kini)

13. Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan

Membaca kisah hidup seorang penulis wanita membuatkan saya lebih bersemangat untuk menulis. Dahulu bukan mudah untuk penulis wanita berdiri sama baris dengan penulis lelaki. Malah beliau mendapat halangan untuk menulis pada awalnya.

14. Tora Datang Lagi ( Amirul Bozu)

Buku ini mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak saya.

Bermain galah panjang, Walkman, water colour, komik Hong Kong (Alam Perwira, Pendekar Laut, Jejak-jejak Wira), permainan baling selipar, kumpul getah pemadam lambang bendera negara.

Terharu membaca buku ini. Terima kasih kerana menulisnya.

Published inBukustetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *