Skip to content

Makan untuk hidup

Sejak tinggal sendiri, saya mengamalkan konsep makan untuk hidup. Makan apa saja yang ada janji dapat mengalas perut.

Hendak memasak, tidaklah rajin mahu memasak setiap hari. Lagipun memasak bukan kekuatan saya.

Makanan kegemaran saya, nasi putih dan telur dadar. Itu saja. Kalau tidak tahu mahu makan apa atau benar-benar buntu, itulah lauk yag menjadi pilihan. Senang. Tidak perlu fikir banyak.

Kalau ada telur masin dengan nasi saja pun sudah cukup. Bak kata seorang rakan yang melihat saya makan, katanya senang nak membela saya. Bagi saja nasi dan telur atau nasi dan ayam goreng. Hiduplah saya.

Entahlah. Bagi saya, banyak lagi benda lain dalam hidup ini yang hendak difikirkan. Kalau mahu makan apa pun kena fikir banyak, memang penatlah.

Sebab itu dua perkara yang seboleh-bolehnya saya tidak akan fikir terlalu panjang atau terlalu mendalam iaitu berkaitan makanan dan pakaian, melainkan kalau ada acara istimewa.

Saya tidak mahu hingga sakit kepala atau pening memikirkan mahu makan apa malam ini atau hari ini.

Bukanlah pula saya menolak untuk makan yang sedap-sedap. Kalau ada makanan yang enak-enak, saya tidak akan menolak. Kalau ada rakan mahu mengajak makan di luar, saya bersedia mengikut kalau kena masa dan tempatnya.

Makanan yang ringkas tetapi mengenyangkan. Janji hilang lapar.

Mungkin keadaan berubah pada masa akan datang apabila saya sudah berkeluarga. Tetapi buat masa sekarang, beginilah.

Ada perkara dalam hidup ini yang perlu difikirkan secara mendalam dan mengambil masa. Ada juga perkara yang tidak perlu fikir terlalu banyak atau tidak perlu fikir langsung.

Apakah perkara yang perlu difikirkan dan apakah perkara yang tidak perlu difikirkan, bergantung pada individu. Setiap orang tidak sama keutamaannya. Penting pada saya, mungkin tidak penting pada kawan saya.

Lebih baik masa yang digunakan untuk berfikir mahu makan apa, saya gunakan berfikir cerita apa yang mahu ditulis. Berfikir tentang kursus apa yang mahu dijalani pada bulan depan atau bulan seterusnya. Kursus medikal atau non-medikal.

Berfikir buku apa atau rujukan mana yang akan digunakan untuk membuat power point slide bagi ceramah untuk pelajar AEMTC.

Berfikir isi apa yang mahu diperkatakan semasa sesi ‘book talk’ saya pada 20 Mac 2015 di PICC sempena pesta buku MPH di sana kelak.

Memilih apa yang mahu difikirkan membolehkan masa disalurkan kepada perkara yang lebih penting.

Apa yang anda fikirkan?

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *