Skip to content

Mak sihat?

Pesakit itu datang kerana demam, batuk-batuk dan susah bernafas. Sewaktu datang Puan A boleh bercakap, berjalan dengan dipimpin oleh anaknya.

Selepas xray, Puan A tampak semakin lemah. Nafasnya tercungap sedikit.

ECG menunjukkan Puan A mengalami serangan jantung. Namun dia tidak mempunyai sakit dada langsung sebagai simptom untuk serangan jantung. Katanya ada sakit di bahagian ulu hati tetapi itu pun pagi Subuh hari sebelumnya. Pagi ini tidak ada sakit di ulu hati dan tiada sakit dada langsung.

Kami kategorikan serangan jantungnya sebagai di luar kebiasaan (atypical chest pain). Warga emas, pesakit kencing manis dan wanita antara kategori pesakit yang tidak mempunyai sakit dada sebagai simptom atau tanda serangan jantung.

Puan A tidak boleh berbaring kerana sesak nafas jika dia baring.

Hasil perbincangan dengan bahagian kardiologi atau bahagian jantung, keputusan diambil untuk menjalankan prosedur intubasi ke atas Puan A. Ini memandangkan keadaannya yang semakin susah bernafas dan untuk PCI atau prosedur angioplasty bagi rawatan penyakit jantungnya dilakukan.

Sebelum intubasi, Puan A bertanya kepada kami, berapa lama dia akan ditidurkan.

Saya cuma mampu menjawab, bergantung pada keadaannya.

Namun Tuhan Maha Berkuasa di atas segalanya. Tidur yang djangkakan tidak lama adalah sebaliknya untuk Puan A. Tubuhnya tidak mampu melawan serangan jantung yang mengganas.

Hanya ada seorang anak dan adik Puan A pada ketika itu. Anak-anak lain masih belum sampai.

Ketika anak-anak yang lain tiba di hospital, yang menanti mereka hanyalah sekujur tubuh ibu mereka. Puan A sudah tidak sedarkan diri dan tidak mampu bercakap lagi dengan mereka.

Anak-anak perempuan teresak-esak menangis. Anak lelaki merah mata.

Kalau saya di tempat mereka pasti berkeadaan sama. Tiba-tiba dipanggil ke hospital dan ibu tersayang dikhabarkan hanya menanti masa untuk pergi menemui-Nya.

Apa yang bermain di fikiran ketika itu?

Bila kali terakhir aku berjumpa dengan ibu?

Bila kali terakhir aku bercakap dengan ibu?

Adakah aku ada menyakitkan hatinya dalam pertemuan terakhir kami?

Sudahkah aku tunaikan semua permintaan ibu dalam hayat ini?

Adakah ibu sudah ampunkan dosa-dosaku terhadapnya selama ini?

Adakah aku mengabaikan ibu kerana sibuk bekerja? Ibu mahu berjumpa, aku asyik berkata nantilah….

Saya dan rakan-rakan telah melakukan segalanya dalam keupayaan kami, namun kuasa Allah itu lebih besar. Dia yang menentukan segalanya walau sekuat mana kita manusia berusaha.

Sedih hati saya sebagai doktor kerana tidak berdaya berbuat apa-apa lagi untuk meredakan kepiluan anak-anak Puan A. Saya tidak mampu mengembalikan ibu mereka yang sihat seperti sebelum ini.

Terbayang-bayang wajah Puan A dan pertanyaannya. “Berapa lama saya akan ditidurkan doktor?”

Siapa sangka, jawapannya adalah selama-lamanya….

Sedih hati saya sebagai doktor, jauh lebih sedih anak-anak Puan A.

Saya pun mahu menangis sama melihat kepiluan yang mereka tanggung. Tetapi tidak mungkin saya tunjukkan emosi di depan mereka. Saya harus bersikap profesional. Kesedihan itu saya simpan kemas-kemas dalam diri.

Balik dari tempat kerja, saya cari nombor di telefon.

“Mak sihat?”

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *