Skip to content

Laporan perubatan

Petang Jumaat saya ke pejabat rekod untuk mengambil fail pesakit yang akan dibincangkan dalam xray conference minggu depan.

Ketika saya berada di situ, seorang perempuan dan seorang lelaki masuk. Perempuan itu meletakkan kad pengenalan di atas kaunter. “Saya mahu laporan perubatan dia.”

Staf yang menjaga kaunter pejabat rekod bertanya, “Sudah isi borang?”

Perempuan itu nampak terpinga-pinga. “Borang? Borang apa? Saya diberitahu supaya datang ke sini kalau mahu ambil laporan perubatan.”

“Memang di sinilah kalau mahu ambil laporan perubatan tapi puan sudah buat permohonan ke belum?”

Perempuan itu seperti tidak faham dengan soalan staf pejabat rekod. “Ini abang ipar saya meninggal dunia minggu lalu. Orang kecemasan kata kalau mahu ambil report, datang sini.”

Saya mencelah. “Puan, memang di sini kalau mahu ambil medical report. Tapi puan kena isi borang permohonan dulu. Selepas isi borang, orang pejabat rekod akan minta doktor sediakan laporan itu.”

“Oh, macam itu ke? Hari itu orang kecemasan kata datang sini kalau mahu ambil report.”

“Ya, memang ambil di sini tapi bukan dapat serta-merta. Mengambil masa juga untuk dapatkan laporan.” Macam saya pula yang bekerja di pejabat rekod.

Saya rasa mungkin kami di jabatan kecemasan tidak menerangkan sepenuhnya kepada waris pesakit hingga dia tidak faham proses. Saya rasa perempuan itu membayangkan datang sini, laporan sudah siap sedia dan dia tinggal mengambilnya sahaja. Sedangkan hakikatnya bukan begitu.

1. Isi borang permohonan
2. Pejabat rekod akan meminta doktor yang terlibat dengan kes menyediakan laporan perubatan yang dikehendaki.
3. Setelah doktor menyiapkan laporan, barulah laporan perubatan akan diberikan kepada waris yang meminta.

Perempuan itu inginkan laporan perubatan untuk urusan insurans abang iparnya yang telah meninggal dunia.

“Berapa insurans dia ada?” Tanya staf pejabat rekod.

“Dia ada empat insurans.”

“Empat insurans maksudnya puan kena bayar untuk empat laporan perubatan. Kalau syarikat insurans ada borang, puan boleh bagi borang daripada syarikat insurans untuk doktor kami isi.” Terang staf pejabat rekod dengan panjang lebar.

Bayaran yang dikenakan untuk satu laporan adalah RM40.

Perempuan itu mengangguk tanda faham. “Terima kasih ya.” Dia berlalu pergi dengan empat helai borang.

Saya pula yang terpegun di situ. Wow, ada empat insurans. Banyaknya insurans pesakit ini.

P.S : Peringatan untuk saya di jabatan kecemasan. Saya harus mengingatkan kepada staf supaya memberi penjelasan kepada waris bahawa laporan daripada pejabat rekod tidak akan diberikan serta-merta sebaik saja mereka muncul di pejabat rekod.

P.S 2: Bayaran RM40 untuk satu laporan perubatan adalah untuk hospital kerajaan. Bagi hospital universiti, bayaran mungkin berlainan.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *