Skip to content

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan

kotokoto 2

Lenguh kaki gara-gara mendaki Bukit Perahu pagi tadi belum hilang lagi. Ditambah letih badan kerana saya gatal-gatal berenang di kolam renang apartment.

Keinginan untuk melihat Pesta Kaamatan mengatasi penat badan. Lagi pun sudah berjanji dengan kawan-kawan. Janji harus ditepati.

Kami bertolak lambat kerana mula-mula menunggu rakan serumah menyelesaikan kes di bilik bedah. Kemudian saya pula ada kes di jabatan kecemasan. Datang ke hospital kerana mahu melihat kes orang sakit dada setelah mendapat panggilan daripada MO.

Tiba-tiba masuk seorang bapa membawa anaknya yang dikatakan tidak bernafas lagi. CPR hampir 30 minit ternyata tidak dapat mengembalikan anak itu kepada ibu bapanya.

Saya tinggalkan jabatan setelah segalanya nampak tenang dari luaran.

Kami menuju ke KDCA. Kadazan Dusun Cultural Association. Kereta sudah penuh di kiri kanan jalan. Ramai orang.

Kami melangkah masuk dengan perasaan teruja. Tahun lepas saya tidak ke mana-mana semasa Pesta Kaamatan. Tahun ini sekurang-kurangnya saya dapat melihat suasana Pesta Kaamatan. Mana tahu saya sudah tidak bekerja di Sabah pada tahun depan. smile emoticon

Di KDCA ada rumah-rumah suku kaum di Sabah. Rumah pertama yang kami singgah ialah rumah suku kaum Bisaya. Apa yang menangkap perhatian kami ialah meja panjang dan terletak makanan di atasnya.

Kebetulan kami tengah lapar.

Pucuk dicita ulam mendatang. Makanan yang disediakan boleh dinikmati secara percuma oleh para pengunjung.

Ada ambuyat, pulut kuning, pulut kosong, sayur pucuk paku-pakis, ayam, ikan. Malah ada kopi beras, baunya seperti benda hangit terbakar. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Bezanya kami orang yang kelaparan. Kami makan hingga terasa kenyang.

Makanan yang disediakan menunjukkan orang Bisaya amat menghormati tetamu. Tetamu dipastikan tidak kelaparan apabila mengunjungi rumah mereka.

Selepas perut kenyang, kami meneruskan lawatan ke rumah-rumah lain. Kaum Rungus, Kadazan Dusun dan yang lain-lain lagi. Di rumah lain turut disediakan makanan sama ada secara percuma atau dibuka untuk jualan.

koto 3koto 4koto 5

Selain itu ada kraftangan setiap kaum yang dijual jika pengunjung berminat membeli. Malah ada ruangan karaoke untuk mereka yang berminat menunjukkan bakat menyanyi. Syaratnya tidak malu menyanyi di khalayak ramai. Orang Sabah memang suka menyanyi.

Hujan yang mula turun tidak membantutkan kemeriahan pesta. Gerai-gerai jualan makanan dan barang-barang turut dipenuhi pengunjung. Kami membeli telur masin dan mencuba susu lembu segar dari gerai Kementerian Pertanian.

Dewan persembahan yang besar boleh memuatkan ramai orang. Persembahan nyanyian dan cabutan bertuah. Nyanyian tradisional dan moden.

Semakin menginjak petang, sudah habis kami berpusing-pusing di situ. Masa untuk pulang. Sebelum pulang sempat saya membeli aiskrim peppermint. Sedap rasanya.

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.

P.S: Terima kasih Ayin yang membawa kami ke sini.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *