Skip to content

Konsisten menulis

Bukan mudah untuk mendisiplinkan diri menulis setiap hari. Baru hari ke-19 dalam bulan Januari tahun ini, sudah terasa mencabar untuk menulis status facebook setiap hari.

Mahu menghasilkan buku dan menjadi penulis bukan bergantung pada bakat semata-mata. Kalau ada bakat tetapi malas dan selalu bertangguh, tidak menjadi juga. Itu yang saya ingatkan pada diri saya.

Harus rajin menulis. Itu yang utama.

Bagaimana hendak rajin menulis dan konsisten menulis setiap hari? Itu pula persoalan seterusnya.

Perlu ada matlamat. Apa matlamat saya dalam menghasilkan tulisan di facebook setiap hari pada tahun ini. Seperti yang saya nyatakan pada 1 Januari, saya mahu menyiapkan sebuah buku daripada status facebook. Buku yang bertajuk Stetoskop & Pen.

Dahulu saya memupuk disiplin menulis dengan menulis di blog pada setiap hari. Tidak kira panjang atau pendek isi tulisan, apa yang penting saya menulis setiap hari. Setelah saya dapat disiplin untuk menulis setiap hari, mudah bagi saya untuk menyiapkan sesebuah buku.

Daripada disiplin itu saya dapat menyiapkan empat buah buku untuk syarikat Truewealth pada tahun 2013. Dua buah buku sudah terbit menemui pembaca iaitu Mudahnya Menulis Buku dan Sehari di A&E. Manakala dua buah lagi masih menunggu giliran untuk diterbitkan.

Saya teringat nasihat yang diberikan oleh seorang penulis senior yang menulis catatan dalam majalah. Keratan majalah itu saya simpan hingga sekarang. Nasihat beliau, kalau betul mahu jadi penulis, tulislah setiap hari.

Konsisten menulis.

Buat permulaan, tulis apa saja dahulu jika tidak pasti genre mana yang anda mahu pilih. Tulis cerpen, sajak, artikel, rencana. Kalau untuk zaman sekarang, anda boleh menulis di blog. Setelah anda menemui genre yang disukai, anda boleh fokus pada genre pilihan dan menulis setiap hari.

Menulis setiap hari.

Anda menulis sepertimana anda bernafas. Selagi anda hidup, anda bernafas. Selagi anda hidup, anda menulis.

Konsisten menulis setiap hari agar buku yang diimpikan berjaya menjadi kenyataan.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *