Skip to content

Kita bukan hakim

“Jahat la siapa yang jaga budak ni.”

“Jahat! Jahat!” Tidak berhenti-henti Z mengulangi ayat yang sama. Saya pandang Z, jururawat bertugas yang sedang menukarkan baju anak ini.

Saya tahu dia marah. Saya tidak salahkan dia kerana berasa marah.

Saya pandang anak yang terbaring di atas katil.

Dibawa oleh emak angkatnya. Kata emak angkatnya, dia yang menjaga anak itu sejak kecil. Emak kandung sudah pulang ke negara asal.

Badannya kecil untuk usia yang disebut. Umurnya mencecah enam tahun tetapi berat apabila ditimbang hanya 4.8 kg. Kaki dan tangan tinggal tulang yang dibaluti kulit. Perutnya besar dan keras. Menurut emak angkat, perutnya sudah seperti itu sejak kecil lagi.

Tidak pernah dibawa ke hospital sebelum ini. Hanya dibawa berjumpa doktor di klinik swasta saja.

Dia UR. Bukan warga.

Ketika sampai, anak itu seperti tidak sedarkan diri. Tidak ada pergerakan tangan dan kaki. Pegun. Hanya kepala kadang-kadang terangkat sedikit. Gasping.

Bacaan gula dalam darah hanya 0.7 mmol/L. Dextrose diberikan. Normal saline bolus.

Selepas dextrose dan normal saline masuk ke urat darah, baru kedengaran suaranya merengek-rengek. Tangannya terangkat-angkat. Alhamdulillah. Nyaris-nyaris mahu kena ‘intubate’ tadi.

“Tak baik la orang yang jaga dia ni. Tengok ni kurus-kering budak ni. Bagi makan ke tak?” Z masih tidak berpuas hati.

Saya dan MO hanya diam. Kami berpandangan sesama sendiri.

“Pandai jaga budak ke tak? Kenapa tak bawa hospital awal-awal.” Z seakan-akan tak mahu berhenti.

“Mungkin dia ada masalah sendiri. Kita tak tahu macam mana kehidupan diorang.” Saya bersuara. Mahu meredakan kemarahan Z, walaupun saya tahu tiada kesannya.

“Kita rawat saja dia bah, dapat pahala.” Tambah MO.

Bukan kami mahu membela emak angkat anak itu. Tetapi sejujurnya, kita tidak tahu apa permasalahan yang mereka hadapi.

Status bukan warga, masalah kewangan, tidak berpendidikan. Takut mahu datang ke hospital kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang. Mungkin rumah jauh di pedalaman, sukar mahu datang ke hospital.

Sejak datang ke Sabah, saya melihat sisi lain dalam kehidupan manusia.

Di Johor dan KL bukannya tiada orang susah. Ada. Namun kesusahan mereka dalam bentuk lain. Mereka masih boleh mendapatkan kemudahan rawatan kesihatan kerana klinik dan hospital yang merata-rata dibina di tempat kediaman. Status sebagai warganegara membolehkan rawatan didapati secara percuma. Kalau bayar pun, hanya RM1 untuk pendaftaran di jabatan kecemasan.

Di Sabah, kesusahan mereka seakan berganda. Faktor lokasi, kemudahan pengangkutan, pendedahan kepada penjagaan kesihatan dan kesedaran untuk mendapatkan rawatan lebih awal nampak kurang pada sesetengah golongan. Status bukan warga menambahkan kesengsaraan mereka.

Ya, sebab itu saya tidak mahu menjadi hakim. Saya tidak boleh menilai mereka jika saya tidak tahu kesusahan yang mereka lalui.

Ya, saya ada perasaan juga. Saya marah melihat fizikal anak ini. Benarkah dia dijaga dengan baik? Persoalan itu tiada jawapannya. Maka kemarahan yang saya rasakan saya pendam dalam hati.

Biar mereka yang menjawab dengan Tuhan sekiranya benar mereka cuai menjaga anak ini. Selain itu, saya dan rakan-rakan perlu jalankan tugas kami, memberi rawatan terbaik kepada anak ini.

Kita bukannya hakim di dunia ini.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *