Skip to content

Kisah di sebalik gambar

 

Heboh hari ini dengan penyebaran sekeping gambar di internet yang memaparkan staf hospital berehat dan membuatkan pesakit tertunggu-tunggu dalam mendapatkan rawatan.

Akan ada yang mengumpul dosa percuma dengan memberi komen tanpa mengetahui hujung pangkal cerita.

Lebih baik diam-diam saja daripada terus menghangatkan suasana.

Biasanya saya malas hendak ambil pusing dengan perkara sebegini. Banyak lagi perkara lain yang lebih berfaedah perlu dibuat daripada mengambil tahu akan hal seperti ini.

Tetapi tergerak pula di hati untuk berkata sedikit.

Hendak kata saya memihak kepada hospital, terpulang. Hakikatnya saya memang bekerja di hospital. Perkara yang betul saya setuju, perkara yang tidak benar, saya tidak akan tegakkan benang yang basah.

Saya cuma ingin mengatakan kepada staf hospital yang amanah dan berdedikasi dalam menjalankan tugas supaya bersabar. Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya.

Allah Maha Mengetahui apa yang anda semua lakukan. Biarlah Dia yang menghakimi kita. Bukannya kata nista orang yang tidak mengerti.

Kepada mereka yang memberi komen sesedap rasa, tak usah menjadi ‘keyboard warrior’.

Hal ini membuatkan saya terfikir.

Ada kisah di sebalik setiap tindakan orang.

1. Staf hospital duduk berehat.

Siapa tahu mereka baru lepas berpencak silat mengendalikan ‘active resuscitation’ ke atas pesakit.

Mungkin detik ini baru mereka dapat berehat seketika selepas bekerja berjam-jam tanpa henti.

Saya sendiri pernah duduk apabila kepala pening kerana terlalu lapar dan letih selepas melihat pesakit tidak berhenti selama beberapa jam.

2. Pesakit tidak mahu masuk ke wad.

Mungkin dia bimbang siapa yang akan menjaga anak-anak di rumah. Atau khuatir dibuang kerja oleh majikan kerana mengambil cuti sakit.

3. Remaja yang cuba membunuh diri.

Barangkali dia dianiaya secara seksual oleh orang yang dikenali tetapi takut untuk memberitahu sesiapa. Berasa tidak ada cara lain untuk melarikan diri maka mengambil keputusan untuk mengakhiri riwayat sendiri walaupun itu ialah dosa besar.

Bukan tugas kita sebagai manusia untuk menghukum. Lebih-lebih kita tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *