Skip to content

Kerana Bossku Mr Purple

 

“Kau kan kesayangan Mr T!” Kai mengangkat kening kepada Zawiyah.

“Ish, Kai jangan la cakap macam tu.” Zawiyah mengangkat senduk kuah, seperti mahu memukul Kai.

Naim, Rashidah, Afidah dan Wee tergelak. Azwa turut tergelak melihat gelagat kawan-kawannya. Masing-masing ada yang sudah menjadi bapa dan emak tetapi perangai apabila bersama dengan kawan-kawan tetap melucukan.

Riuh-rendah mereka berbual pelbagai perkara. Maklum, jarang-jarang dapat bersua muka selepas tamat program master di universiti. Bekerja di tempat berlainan di seluruh Malaysia membuatkan sukar untuk berjumpa seperti ini. Hanya apabila ada kursus atau seminar baru berpeluang bertemu dengan kawan lama.

Mendengar lawak jenaka Naim dan Wee membuatkan hati Azwa terubat sedikit. Walaupun dia masih belum dapat melupakan apa yang berlaku pagi tadi.

Semuanya segar dalam ingatan. Seolah-olah peristiwa itu bukan berlaku beberapa jam yang lalu, sebaliknya hanya beberapa saat berlalu.

Azwa mengangkat muka. Papan tanda yang tertulis Hospital Ipoh dipandangnya. Langkah kaki diatur memasuki perkarangan hospital.

Azwa yang sedang bergelak ketawa dengan Fazlin terhenti apabila sebuah kereta menghampirinya.

Seakan-akan ada kuasa yang menarik Azwa untuk melihat siapa gerangan yang berada dalam kereta.

Masa seakan terhenti.

Walaupun terlindung di sebalik stereng kereta, Azwa dapat meneka pemandu yang sedang merenungnya. Tidak berkelip mata Azwa memandang kereta berwarna hitam itu. Tetapi apabila tersedar apa yang dilakukannya, cepat-cepat dia mengalihkan pandangan. Buru-buru Azwa melajukan langkah.

Firas tergamam.

Azwa tidak tahu apa perlu dilakukannya. Sama ada mahu menangis atau tergelak. Betapa anehnya dunia.

Azwa berperang dalam hati. Dia yang aku paling mahu elakkan. Mengapa dia orang pertama yang aku nampak?

Mengapa aku datang ke sini? Kenapa dia ada dalam kursus ini juga?

Kenapa pedih luka di hati ini tidak pernah surut? Azwa sebak menahan rasa yang membelit jiwa.

Fazlin memahami. “Be strong Azwa.”

Azwa meneruskan langkah. “Kan bagus kalau aku tak datang kursus ni.” Bisik Azwa perlahan namun masih dapat ditangkap Fazlin.

“Jangan fikir negatif. Kau pergi kursus ni sebab nak dapat ilmu. Dapat jumpa kawan-kawan yang lain.” Pujuk Fazlin.

Azwa menghela nafas panjang. Dia menoleh ke belakang sekilas. Kereta Firas masih tidak bergerak.

“Tak kan sebab dia seorang kau nak korbankan kursus ni. Kau dah sampai sini pun.” Fazlin cuba memberi semangat pada Azwa.

Terkebil-kebil mata Firas melihat Azwa yang semakin hilang dari pandangan. Perlukah aku keluar dari kereta dan kejar dia?

Kenapa susah sangat takdir kami untuk bersama?

P.S : Ada siapa-siapa mahu baca novel Kerana Bossku Mr Purple

Published inBuku

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *