Skip to content

Kerana aku doktor

Kerana aku doktor

darah yang membuat orang lain pengsan
tidak kuhiraukan
yang penting pesakit boleh diselamatkan
merah darah dan hanyir baunya
bukan satu perkara yang menjijikkan

Kerana aku doktor
terkena najis dan muntah itu lumrah
sebenarnya aku pun tak tahan
namun aku buat-buat seolah tiada apa
dalam hati Tuhan saja yang tahu

Kerana aku doktor
tangisan anak kecil tidak kuhiraukan
ketika aku mencucuk tangannya untuk pasang branula
yang penting cecair dan ubat dapat diberikan
agar dia sembuh dari sakitnya
dan bisa ceria seperti sediakala
kembalikan senyuman di wajah ibu bapa

Kerana aku doktor
makan minum terabai
kesihatan diri kadang-kadang terjejas
fikiran terarah pada pesakit
ingin memastikan rawatan tak ada cacat celanya
walau aku sendiri bukan manusia yang sempurna

Kerana aku doktor
tidur pun aku harus jaga
bila mana telefon berbunyi
panggilan kecemasan dari hospital
dalam mamai aku menjawab
kes apa itu
tidurku bukan milik aku

Kerana aku doktor
ada janji yang tak dapat ditepati
majlis di sana sini tak mampu kuhadiri
temujanji dengan kawan dibatalkan
orang tersayang ditinggal-tinggalkan
kerja dan pesakit jadi keutamaan

kerana aku doktor
emosi harus diikat kemas-kemas dalam diri
walau ingin menangis
tatkala pesakit pergi selama-lamanya
selepas aku dan rakan-rakan berusaha sedaya upaya
kalaulah masyarakat tahu
kesedihan yang tersimpan jauh di sudut hati
kami pun manusia biasa

Kerana aku doktor
tetap tersenyum tatkala dimarahi dan dicerca
oleh pesakit yang cuba ditolong
tetap tayang muka yang tidak berperasaan
sewaktu dibentak-bentak
oleh ahli keluarga dan rakan pesakit yang tidak sabar menunggu segalanya
walau dalam hati ingin membalas semula
namun kuberdiam diri

Kerana aku doktor
aku tak harap pujian dan terima kasih manusia
cukup jika mereka tak mengeji dan mengata

Kerana aku doktor
aku lakukan seikhlas yang mampu setiap hari
Tuhan telah pilih diriku
letakkan aku di sini
berkhidmat kepada masyarakat dengan ilmu anugerah-Nya
selagi nafas masih ada

P.S : Sudah lama tidak menulis sajak. Sajak ini ditujukan khas untuk semua rakan-rakan doktor tidak kira di mana juga anda bertugas.

Semoga kita terus diberikan kekuatan oleh-Nya untuk menjalankan tugas.

‪#‎stetoskopdanpen‬

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *