Skip to content

Kenapa tak ada doktor perempuan

Seorang doktor dikasari oleh suami pesakit. Kesalahannya adalah kerana jantina doktor itu. Doktor lelaki.

Suami pesakit mahukan isterinya yang mahu bersalin disambut oleh doktor perempuan. Pihak hospital memberi jawapan akan mencuba yang terbaik. Tetapi sudah tentu tidak dapat berjanji seratus peratus bahawa permintaannya akan dapat dipenuhi.

Hari ketika isterinya dimasukkan ke hospital, hanya doktor lelaki yang oncall pada malam itu. Situasi hidup dan mati, perlu bertindak cepat. Maka doktor yang ada memastikan kelahiran bayi itu. Ibu dan bayi selamat.

Malangnya bukan ucapan terima kasih yang diterima. Sebaliknya satu tamparan di muka kerana si suami marah. Marah kerana doktor lelaki yang menyambut kelahiran anaknya.

Di mana hilangnya rasa syukur kerana isteri dan anak yang baru dilahirkan selamat?

Mengapa tidak tahu menjadi orang yang berterima kasih? Hanya tahu meladeni ego dan marah sendiri.

Usah ditanya tentang kisah ini. Hanya mahukan anda berfikir natijah di sebalik kisah ini.

Saya menyanjung tinggi rakan-rakan yang memasuki bidang sakit O&G (ibu mengandung dan sakit puan).

Bidang yang sukar bagi saya.

Mengapa saya katakan sukar?

Doktor bahagian lain, dalam satu masa hanya merawat dan memastikan kesihatan seorang pesakit. Doktor O&G menjaga dua nyawa dalam satu masa. Dua dalam satu. Satu tugas yang sangat mencabar. Memastikan kesihatan dan keselamatan ibu dan anak terjaga serentak.

Tugas yang menuntut fokus yang tidak berbelah-bagi. Kerana jika cuai, akan membawa kemudaratan kepada ibu dan anak tersebut.

Tekanan yang tinggi dihadapi oleh doktor O&G dalam menjalankan tugas mereka. Ditambah dengan risiko medikolegal yang melebihi bidang lain. Risiko untuk disaman pesakit dan ahli keluarga.

Berpeluh-peluh setiap kali ada kecemasan ibu bersalin. Walaupun lebih satu dekad berlalu, saya masih tidak boleh lupa kenangan menjalani posting O&G di HKL.

Cord prolapse. Semua orang bergegas untuk ibu ini seolah-olah dunia hendak runtuh.

Fetal distress. Cepat-cepat uruskan untuk pembedahan Caesarean. Kelam-kabut telefon bilik bedah dan doktor bahagian bius. Pembedahan yang dikatakan oleh segelintir orang bahawa doktor tahu hendak potong sahaja. Sedangkan tujuannya hendak menyelamatkan nyawa.

Eclampsia. Red alert. Palpitation dibuatnya bila dengar ‘red alert’. Rasa macam doktor pula yang hendak kena serangan jantung.

Sewaktu houseman, saya pernah berdiri berjam-jam dalam membantu MO melakukan caesarean demi caesarean. MO itu pasti lebih letih kerana tidak putus-putus membedah ibu bersalin seorang demi seorang.

“Doktor H, kenapa buat cepat sangat op ni? Nak cipta rekod ke apa?” Waktu itu saya sudah stress kerana kesejukan dan letih berdiri dalam OT. Maka saya pun tegur dia dengan niat mahu memecahkan kesunyian dan menceriakan keadaan.

Tapi memang cekap dan laju dia buat pembedahan caesarean dan saya sangat kagum dengan kepantasannya.

“Bukan nak cipta rekod tapi nak pastikan baby selamat. Lagipun ada kes lain menunggu lepas ni. Sebab tu saya buat secepat yang boleh.”

Jawapan Dr H membuatkan saya terus terdiam. Tak terjangkau oleh akal houseman saya yang naif pada waktu itu.

Tabik kepada rakan-rakan yang berada dalam jabatan O&G terutamanya rakan perempuan. Antara ramai-ramai doktor, anda yang berani bertahan dalam bidang ini. Hanya Allah yang akan memberi ganjaran kepada anda di sana kelak.

Kepada mereka yang sering membuat permintaan untuk mendapatkan doktor perempuan apabila bersalin:

1. Jika mampu, kumpul duit agar dapat bersalin di hospital swasta di mana anda boleh memilih doktor perempuan bagi proses bersalin.

2. Kalau tidak mampu, banyakkan berdoa semoga anda dan isteri anda mendapat doktor perempuan untuk menyambut bayi yang dinanti-nantikan.

3. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga seperti adik atau anak saudara perempuan, galakkan mereka menjadi doktor bahagian O&G. Apabila anda mempunyai anak perempuan, galakkan anak supaya menjadi doktor bahagian O&G.

Berhenti salahkan kerajaan yang masih belum mampu menyediakan doktor perempuan kepada setiap permintaan yang diajukan.

Berhenti salahkan doktor perempuan yang tidak memasuki bidang O&G.

Berhenti salahkan doktor lelaki yang menyambut kelahiran bayi.

Berhenti salahkan bulan dan bintang.

Berhenti bising kenapa Malaysia tak dapat PM yang muda dan handsome seperti di Kanada. Eh….

Satu jari yang menuding kepada orang lain, empat jari lagi menuding kepada diri sendiri..

Lihat pada diri sendiri. Apa yang telah anda lakukan atau sumbangkan dalam menangani situasi ini. Apa peranan anda?

Kalau hanya tahu berkokok di facebook atau media sosial, jika tidak boleh buat satu apa pun, hatta berdoa sekali pun, duduk diam-diam.

For my O&G friends, you guys are the real hero!

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *