Skip to content

Kenapa saya tak kahwin lagi

22 25

Hari ini menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga seorang rakan. Saya paling seronok bila menghadiri majlis adalah kerana dapat makan. Saya suka makan.

Melihat pengantin yang bersanding di atas pelamin membuatkan saya tersenyum. Bila saya pula nak kahwin. Bukannya nak bersanding di atas pelamin seperti pengantin ini tetapi cukup jika ada majlis ringkas saja.

Kerap orang bertanya kenapa saya tak kahwin lagi. Keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

Saya boleh beri jaminan, sekurang-kurangnya untuk diri saya, mungkin juga boleh mewakili sebahagian besar rakan-rakan di luar sana yang masih belum kahwin juga.

Tidak ada manusia waras yang tidak mahu kahwin. (Ya, saya tahu ada segelintir orang yang memang tidak mahu kahwin atas sebab-sebab sendiri). Tetapi kebanyakan manusia normal pasti mahu berkahwin dan mempunyai anak sendiri.

Saya teringat perbualan dengan seorang rakan.

“A, bila kita akan kahwin agaknya?”

Jawab A. ” Saya rasa saya memang tak akan kahwin la, Yati.”

“Ha, kenapa pulak?” Mendengar kata-kata A saya terkejut. Dia nampak serius dengan apa yang dituturkannya.

“Kahwin tu bukan untuk orang macam saya.”

“Kenapa?” Saya tak puas hati dengan jawapan A.

A diam dan tersenyum. Soalan saya dibiarkan tergantung. Sehingga kini saya tak tahu apa maksud A.

Oleh itu tak payahlah asyik bertanya kepada orang bujang kenapa tak kahwin lagi.

“Kenapa kau tak kahwin-kahwin lagi ni?”

“Aku nak kahwin tapi aku nak kahwin dengan suami kau, boleh?”

Terus terdiam member.

Hahahaha….

Bersyukur sekiranya anda sudah mempunyai pasangan walaupun belum memiliki cahayamata. Sekurang-kurangnya anda sudah ada teman hidup untuk berkongsi susah senang.

Kepada mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, itu adalah salah satu nikmat hidup yang anda ada. Nikmat yang tidak dimiliki oleh orang bujang.

Ada rakan-rakan yang mahu mengenalkan saya dengan seseorang, masalahnya saya ini pemalu. Hahahaha… maka tidak kesampaianlah hasrat mereka.

Ada yang bertanya melalui fb. Tetapi bila saya menolak, automatik dituduhnya saya memandang rupa paras, harta dan pangkat. Woo… berdesing juga telinga.

Anda tidak kenal saya langsung tetapi bila saya menolak anda, saya pula dituduhnya memandang harta dan rupa.

Sesiapa yang mengenali saya tahu saya bagaimana. Adakah saya memandang rupa paras, harta dan pangkat semata-mata? Tanya kepada mereka yang mengenali saya.

Ada yang kata saya memilih sangat kerana saya seorang doktor.

“Janganlah memilih sangat.” Itu nasihat seseorang.

Hendak pilih apa kalau calon yang nak dipilih pun tiada….

Walaupun tiada sesiapa, takkan saya mahu terima sesiapa saja secara rawak hanya kerana terdesak mahu berkahwin.

Saya mengaku saya mahukan orang yang kaya.

Kaya yang bagaimana?

Kaya dengan budi bahasa, tahu menghormati orang lain. Kaya dengan ilmu, ilmu agama dan ilmu dunia. Kaya dengan kasih sayang, boleh menyayangi saya dan keluarga saya, tidak pentingkan diri sendiri.

Paling penting boleh menerima kekurangan yang saya ada. Kerana saya banyak kekurangan dalam diri.

Jadi jawapan untuk soalan kenapa saya tak kahwin lagi adalah kerana saya belum menemui jodoh. Jodoh ini rahsia Allah.

Sementara menanti jodoh, biarlah saya memperbaiki diri.

Moral of the story, selepas ini tak perlu tanya lagi dengan saya dan rakan-rakan yang masih belum kahwin dengan soalan cepuemas: bila nak kahwin?

Kami letih menjawab soalan itu….

P.S : Terima kasih kepada Nur Ezrannie Ezran Ahmad kerana menjemput kami ke majlis perkahwinan adik.

P.S 2: Kawan-kawan yang belum berkahwin, semoga satu hari nanti kita ditemukan dengan jodoh masing-masing.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *