Skip to content

Kenapa menulis

 

Soalan yang sering saya dapat, “Berapa royalti buku yang sudah diperolehi?”

Saya tak jawab soalan tersebut.

Duit bukan tujuan utama saya menulis. Mungkin di tangga keempat atau kelima.

Ya, saya tak nafikan. Dapat duit itu seronok. Boleh saya beli buku dan melancong bila mendapat hasil duit jualan buku. Tipu kalau saya cakap saya tak suka duit.

Ada penulis yang berkarya kerana duit. Setiap penulis ada alasan sendiri mengapa menulis. Alasan setiap individu tidak sama.

Dibayar atas hasil penat lelah menulis boleh menggembirakan, malah menjadi daya penggerak untuk kita lebih produktif menulis.

Tetapi cuma satu yang saya mahu katakan.

Saya menulis bukan kerana duit.

Saya menulis kerana saya suka menulis. Itu sahaja.

Kalau mahu senaraikan sebab lain, mungkin begini turutannya:

Sebab saya menulis:
1. Saya suka menulis
2. Menulis merupakan cara saya meluahkan perasaan
3. Ingin berkongsi apa yang saya rasa dan fikir dengan orang lain
4. Ingin berkongsi ilmu dengan orang lain
5. Kerana saya tak pandai melukis
6. Mahu kumpul saham banyak-banyak untuk dibawa sebagai bekal di ‘sana’

Terharu bila ada orang yang suka baca apa yang saya tulis. Saya kira itu antara sebab orang menulis di facebook. Suka bila dapat banyak ‘like’. Rasa teruja.

Kalau saya menulis kerana duit, saya akan tulis ikut trend buku apa yang laku pada satu-satu masa.

Saya menulis apa yang saya mahu tulis. Saya mahu tulis novel kerana saya ada ilham untuk menulis novel. Bukan terikut-ikut trend penulisan novel yang banyak pada masa sekarang.

Buku saya pasti ada identiti saya.

Jadi berbalik pada soalan di atas. Tanya kepada diri sendiri, mengapa menulis.

Tidak ada orang yang boleh menjawab soalan ini untuk anda. Hanya anda sendiri yang boleh menjawabnya.

Apa-apa pun yang penting, anda bahagia dengan apa yang dilakukan. Anda menulis kerana memang anda yang mahu melakukannya. Walau apa juga sebabnya.

Jika sebab menulis anda itu kuat, anda akan menulis sehingga tiada daya lagi untuk menulis. Tapi kalau ada faktor-faktor lain yang bersifat sementara, ianya tak akan ke mana.

P.S : Post ini bukan bermakna anda boleh dapat buku saya secara percuma. Orang biasanya tak menghargai benda percuma. Bila anda membeli dan membayar buku saya, anda menunjukkan penghargaan ke atas usaha saya menghasilkan karya tersebut. Saya amat menghargainya.

P.S 2: Duit diperlukan untuk beli buku daripada penerbit sebelum saya menjualnya kepada pembeli. Duit juga diperlukan sebagai modal untuk mencetak buku yang saya terbitkan sendiri. Sebab itu saya tak dapat memberi buku percuma kepada mereka yang menginginkannya.

P.S 3: Kepada mereka yang bertanya bila buku baru saya hendak keluar, nantikan pengumumannya. (Mungkin ada juga yang sudah tahu) Tiada aral, Januari 2016 buku akan keluar.

Published instetoskop & pen

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *